Anda di sini

Ubat, gaya hidup sihat penting bagi mengurus penyakit kronik

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Oleh Sakini Mohd Said

Isu buang ubat dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuk pesakit yang diberi ubat oleh hospital kerajaan mungkin bukan perkara baru, dan mungkin juga ianya masih berterusan.

Artikel lima siri ini antaranya menyentuh aspek sikap yang bukan sahaja menjurus kepada pembaziran tetapi juga isu perundangan, masalah kesihatan terutama penyakit tidak berjangkit yang wajar diberi perhatian serta kesan kepada alam sekitar akibat cara pelupusan ubat yang tidak tepat.

Ini siri keempat daripada lima siri.

BENARKAH makan ubat darah tinggi ataupun kencing manis boleh mengakibatkan buah pinggang rosak pada jangka masa panjang? 

Itu persoalan penulis kepada beberapa pesakit golongan itu ketika mempertikaikan kepercayaan segelintir mereka yang teguh beranggapan bahawa ubatan klinik mahupun hospital begitu berisiko memudaratkan organ perkumuhan penting bagi setiap individu ini. 

Malah, kerana kepercayaan itu jugalah membuatkan golongan ini bertindak tidak patuh kepada pengambilan ubat mereka bahkan ada yang sanggup menggunakan rawatan alternatif/tradisional seperti herba yang tidak diketahui jaminan kesihatannya mahupun membeli ratusan ringgit produk suplemen bagi menggantikan ubat doktor. 

Walhal, ubat yang diperoleh secara percuma di klinik mahupun hospital kerajaan adalah sangat menyedihkan kerana ia bukan sahaja tidak dimakan tetapi disimpan dan akhirnya dibuang, ini diakui sendiri oleh suri rumah sepenuh masa yang hanya mahu dikenali sebagai Ziela Yahya, 55 tahun. 

Lima tahun diserang penyakit kencing manis atau diabetes, darah tinggi dan kolesterol, ibu kepada tiga orang anak ini mempunyai persepsi sangat negatif terhadap ubat hospital kerana baginya ubatan itulah yang menjadi punca kepada kerosakan buah pinggangnya sehingga perlu menjalani rawatan dialisis. 

“Akak pelik mengapa buah pinggang boleh rosak sedangkan patuh makan ubat (pada awalnya), tidak ambil suplemen lain mahupun rawatan herba. Ketika itu, umur akak 53 tahun semasa diberitahu doktor mengenai kerosakan buah pinggang. 

“Sejak saat itu, akak mula selang-seli makan ubat dan lama kelamaan langsung tidak makan sehinggalah ke hari ini. Hanya ubat kolesterol sahaja akak makan dan itu pun ketika sebulan hendak jumpa doktor barulah ambil. 

“Diabetes akak sudah terkawal dan walaupun doktor hendak bagi ubat, akak tidak mahu. Sekarang ini, akak tumpu pada penjagaan makanan sahaja. Akak ada tanya mengapa buah pinggang rosak walaupun patuh makan ubat (pada awalnya) dan doktor ada beritahu antara puncanya adalah gaya hidup tidak sihat. 

“Tetapi, bagi akak ubatan itulah yang menyebabkan buah pinggang rosak sebab kimia. Sebabnya, akak patuh makan ubat selama ini dan sepatutnya tidak rosaklah,” katanya dalam satu temu ramah bersama Bernama baru-baru ini. 

APAKAH BENAR?

Tidak dinafikan, wanita ini mengakui gaya hidupnya sebelum ini tidak begitu mementingkan amalan pemakanan sihat bahkan dia juga seorang penggemar minuman manis. Boleh dikatakan, air manis sahajalah yang menjadi minumannya sepanjang masa mahupun setiap hari. 

Malah, biarpun telah didiagnos dengan penyakit itu, Ziela tetap meneruskan tabiat pemakanan tidak sihat serta langsung tidak melakukan sebarang senaman disebabkan kesibukan bekerja sebagai pekerja hotel sebelum ini.

“Walaupun akak sudah tidak makan ubat doktor tetapi akak tetap pergi klinik untuk pemeriksaan. Ubat darah tinggi akak ambil tetapi dalam kuantiti sedikit untuk ‘standby’ kecemasan. Tetapi, akhirnya tidak makan. 

“Sekarang, akak hanya makan produk suplemen organik yang dibeli di farmasi dengan harga RM84. Ada 30 paket dan makan sekali sehari, cukup untuk setengah bulan,” katanya. 

Akan tetapi, apakah benar kepercayaan wanita ini mahupun segelintir pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD) lain bahawa pematuhan pemakanan ubatan darah tinggi atau hipertensi mahupun diabetes dari klinik/hospital berisiko merosakkan buah pinggang pada jangka masa panjang?

KEPERCAYAAN PALSU

Hakikatnya, polemik ‘persepsi’ itu bukanlah baharu bahkan ia sudah lama berantaian dalam sistem kehidupan masyarakat dan sememangnya antara cabaran hebat yang perlu dihadapi dalam kalangan pakar perubatan merangkumi doktor mahupun ahli farmasi khususnya di klinik dan hospital kerajaan.

Malah, situasi berkenaan juga sudah begitu sebati dalam jadual rawatan Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Dr Nor Fadhlina Zakaria selama lebih tujuh tahun berkhidmat sebagai pakar perubatan buah pinggang. 

Dr Nor Fadhlina dalam satu temu ramah bersama Bernama. - Gambar Bernama
Dr Nor Fadhlina dalam satu temu ramah bersama Bernama. - Gambar Bernama

“Kebanyakan pesakit menyangka ubat hipertensi dan diabetes akan memberikan impak kerosakan buah pinggang mereka pada jangka masa panjang adalah tidak benar kerana adalah tidak beretika seorang doktor bertauliah memberikan ubatan yang menyebabkan kerosakan kepada pesakit mereka. 

“Prinsip ‘Do Not Harm’ atau tidak menyebabkan kerosakan/keburukan di dalam Hippocratic Oath, perlu dipegang setiap pengamal perubatan yang merawat pesakit mereka. Memang ada sesetengah ubat boleh mengganggu fungsi sesetengah organ tetapi pemberian ubatan ini akan dipantau ketat oleh pegawai/pakar perubatan.

“Sekiranya kesan ubatan menjangkaui kadar selamat, maka ubatan itu akan dihentikan dan diganti dengan ubatan lain. Yang penting, dalam rawatan NCD adalah untuk mendapatkan kawalan penyakit bagi mengelakkan komplikasi lebih buruk yang boleh memberikan kesan jangka masa panjang lebih menyedihkan atau merumitkan pesakit,” katanya yang turut berkhidmat di Hospital Serdang. 

Kepercayaan itu yang wujud akibat daripada kurangnya pengetahuan pesakit mengenai penyakit mereka adalah membimbangkan kerana kerosakan buah pinggang pastinya boleh berlaku sekiranya diabetes atau hipertensi tidak dijaga dengan baik. 

Walhal, dengan pematuhan pemakanan ubat secara konsisten yang digabung amalan pemakanan dan kehidupan sihat adalah wahana sebetulnya yang boleh mencegah daripada berlakunya kerosakan organ perkumuhan penting manusia ini. 

HOLISTIK 

Merujuk kepada kes Ziela, Dr Nor Fadhlina berkata adalah amat penting pendidikan perubatan diberikan kepada pesakit secara berterusan supaya mereka maklum bahawa keberkesanan rawatan tidak akan berjaya sekiranya ia tidak digabungkan secara holistik iaitu bukan sahaja pematuhan pemakanan ubat tetapi juga gaya hidup sihat turut memainkan peranan jitu. 

Konsepnya mudah. Bayangkan, ubatan yang diberikan bertujuan mengawal kadar diabetes dan hipertensi yang antaranya berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup tidak sihat tetapi hanya dimakan begitu sahaja walhal pada masa sama masih lagi meneruskan cara hidup sedentari, jadi bagaimana rawatan boleh berjaya?

Dan, hakikat inilah yang sewajarnya perlu diperjelaskan kepada pesakit NCD supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah palsu itu.

“Pesakit yang menolak ubat hospital biasanya akan menggunakan rawatan tradisional seperti herba ataupun terpengaruh dengan rawatan yang tidak diketahui keberkesanannya secara kajian saintifik. Ini termasuklah memakan suplemen tanpa pemantauan doktor. 

“Adalah lebih berbahaya sekiranya pesakit menggunakan kaedah itu kerana keselamatan ubatan/herba tidak diketahui dengan baik dan ia mungkin juga akan merosakkan organ atau tubuh badan,” katanya yang juga pensyarah kanan perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Selain kerosakan buah pinggang yang digeruni, kegagalan pengurusan diabetes dan hipertensi dengan baik turut mengundang kepada komplikasi lain, contohnya, serangan jantung, angin ahmar mahupun berisiko menyebabkan kematian. 

Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

MENYEDIHKAN 

Polemik ini terbukti apabila menyusuri data tahun 2018 daripada laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNP) yang mendedahkan di Malaysia, pesakit hipertensi mempunyai tahap kepatuhan ubat yang rendah iaitu hanya sekitar 53 peratus sahaja manakala kajian juga menunjukkan sekitar 50 peratus sahaja pesakit diabetes mematuhi pengambilan ubat. 

Keadaan ini, bagi Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Unit Nefrologi dan Dialisis, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Prof Madya Dr Ruslinda Mustafar adalah sangat menyedihkan kerana ia bukan sahaja memudaratkan keadaan kesihatan pesakit. 

Tetapi juga, mengakibatkan negara mengalami kerugian yang kemungkinan berjutaan ringgit.

Ia akibat daripada sikap mereka yang tetap berkehendakkan mengambil ubat tetapi tidak dimakan mengikut aturan yang ditetapkan, ada yang dibuang mahupun dipulangkan balik kepada farmasi klinik/hospital tanpa secubit pun rasa bersalah dengan pembaziran itu. 

Biasanya, pelbagai alasan diberikan pesakit NCD untuk ‘menghalalkan’ sikap mereka seperti terlupalah dan sibuk kerjalah walhal niat golongan ini adalah sememangnya tidak mahu memakan ubat atas dasar kepercayaan berkenaan (rosak buah pinggang). 

Bagaimanapun, mereka tetap mahu berjumpa doktor hanya sekadar untuk dijadikan platform pengesahan bahawa produk suplemen atau rawatan herba yang diambil adalah dipercayai kononnya lebih berkesan bagi rawatan hipertensi mahupun diabetes. 

Bagi kalangan doktor, alasan sebegini sudah lapuk kerana rekod kesihatan serta perubahan yang berlaku pada sistem badan pesakit menjelaskan keadaan sebenar sama ada pesakit itu patuh kepada penjagaan pengurusan diabetes dan hipertensi dengan baik mahupun sebaliknya. 

“Kebanyakan pesakit saya yang patuh makan ubat dan mengamalkan kehidupan sihat, keadaan buah pinggang mereka stabil dan tidak berlaku kerosakan berbanding yang tidak patuh, yang biasanya akan datang dengan pelbagai komplikasi. 

“Sebab itu, saya rasa sedih sangat apabila banyak kali berhadapan situasi, apabila ahli farmasi tunjukkan saya banyak ubatan yang dipulangkan pesakit. Ada ubat mahal, ada yang memerlukan penjagaan sensitif seperti disimpan dalam peti sejuk dan bila dipulangkan dalam keadaan begitu, berpuluh ribu ringgit habis. 

“Contoh, insulin. Ada yang harganya sangat mahal dan hakikatnya di negara luar seperti di United Kingdom, ada yang tidak mampu membeli insulin kerana tidak termasuk perlindungan insurans mereka. Ini menunjukkan betapa mahalnya kos rawatan diabetes secara umumnya.

“Tetapi, apabila melihat ubat sedemikan dipulangkan balik dan kita tidak akan guna balik ubat itu kerana tidak tahu cara penyimpanan oleh pesakit sebelum ini, ada ketikanya saya merasakan lebih baik ubatan berkenaan dikenakan bayaran supaya rakyat lebih menghargai,” katanya. 

MASALAH NEGARA

Berdasarkan tinjauan penulis di beberapa farmasi sekitar Lembah Klang, mendapati harga insulin adalah lebih RM100 dan ia bergantung kepada jenis, jenama serta dos yang digunakan.

Begitu juga rawatan hipertensi dan diabetes yang ditanya penulis di beberapa klinik swasta di Lembah Klang, ratusan ringgit perlu disediakan pesakit bergantung kepada keadaan penyakit dan ubat dipreskripsikan doktor untuk sekali rawatan. 

Berlainan pula dengan rawatan di klinik/hospital kerajaan, hanya RM1 yang dikenakan untuk berjumpa doktor dan mendapat ubat, namun masih ramai tidak mengikuti nasihat doktor dan pematuhan rawatan sebaiknya. 

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Malaysia pada tahun 2017, kos tahunan keseluruhan pengurusan diabetes dianggarkan sekitar RM2.04 bilion dan sebanyak RM1.40 bilion daripadanya ditanggung kerajaan Malaysia. Hakikat yang pasti, jumlah ini meningkat saban tahun.

Mungkin, adalah sebaiknya kos setiap butir ubat itu ditulis secara ketara pada label ubat bagi menyedarkan pesakit supaya lebih menghargai rawatan memandangkan kos sebenar rawatan diabetes dan hipertensi, sebenarnya bukanlah murah.

Apatah lagi, apabila ia membabitkan komplikasi yang pastinya akan menyebabkan kos rawatan lebih mahal. 

Ini jugalah yang membimbangkan kerajaan apatah lagi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan 3.9 juta (18.3 peratus) rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes, peningkatan ketara berbanding 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015. 

Dengan peningkatan ini, bayangkan sekiranya kepercayaan palsu itu tidak dijelaskan sebaiknya kepada pesakit mahupun masih ada tidak menghargai ubatan yang diberi percuma di fasiliti awam, maka, tidak mustahil senario ini akan menyebabkan kerajaan berterusan menanggung beban kewangan besar rawatan NCD selain memberikan impak negatif ke atas kualiti kehidupan pesakit.

“Tidak ada mana-mana doktor yang merawat pesakit hendak melihat keadaan pesakit mereka menjadi lebih teruk. Kalau boleh, saya hendak pastikan pesakit saya tidak mengalami kerosakan buah pinggang sepanjang rawatan. 

“Kerana itulah, saya tekankan kefahaman penyakit, ubatan sangat penting dan ini perlu dilakukan melalui kepercayaan terjalin dan komunikasi berkesan antara doktor, ahli farmasi serta pesakit,” katanya. - Bernama

SIRI SATU: Buang ubat: Masyarakat masih tidak cakna

SIRI DUA: Ambil kisah perihal ubat, perlukah wujud peraturan khas?

SIRI TIGA: Lupus ubat perlu ikut piawaian

Advertisement