Anda di sini

Tiong hargai kerjasama penduduk Sungai Plan

Advertisement
 Tiong (kanan) meninjau dan memantau penduduk yang beratur menunggu giliran untuk membuat saringan ujian calitan pengesanan COVID-19 di Sungai Plan Tanjung Kidurong Bintulu, kelmarin.
TURUN PADANG: Tiong (kanan) meninjau dan memantau penduduk yang beratur menunggu giliran untuk membuat saringan ujian calitan pengesanan COVID-19 di Sungai Plan Tanjung Kidurong Bintulu, kelmarin.

BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mengucapkan terima kasih kepada penduduk Sungai Plan atas kerjasama dan kesanggupan mereka tampil menjalani pemeriksaan saringan pengesanan COVID-19 di dua pusat saringan sementara di kawasan Sungai Plan.

Walaupun terpaksa berpanas katanya, penduduk sanggup berpayung dan sabar menunggu selain bekerjasama dengan mematuhi prosedur opersi standard (SOP) penjarakan fizikal.

“Pada petang hari yang sama (kelmarin) lebih 1,000 sampel ujian telah dikumpulkan, namun kita masih mengalu-alukan kehadiran lebih ramai penduduk untuk menjalani pemeriksaan dan ujian saringan ini,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya semalam.

“Saya juga telah berbincang dengan pegawai yang bertanggungjawab untuk memanjangkan sedikit tempoh ujian dan membolehkan sebanyak mungkin penduduk yang datang untuk menjalani pemeriksaan,” tambah Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu.

Tiong yang turut meninjau dan memantau proses ujian calitan pengesanan COVID-19 di Sungai Plan berkata, beliau telah berkomunikasi dengan kakitangan bertugas serta menjaga aliran pergerakan orang ramai di pusat pemeriksaan dan saringan supaya dapat dilakukan secara efisien dan pantas.

“Bagi mengelak orang ramai menunggu terlalu lama, kita mengesyorkan mereka untuk datang lebih awal pada keesokan hari ini (Sabtu),” katanya.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang terlibat dalam tugasan di pusat saringan sementara yang penuh komitmen dalam  mempersiapkan diri menjayakan program saringan COVID-19 berskala besar di Sungai Plan.

Sekiranya terdapat kekurangan dalam proses ini, beliau berharap pelbagai pihak boleh memberikan cadangan bernas untuk memperbaikinya.

Dalam situasi yang sukar dan mencabar ini katanya, semua pihak perlu berganding bahu membantu usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengekang penularan dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Apa yang penting, patuhi SOP penjarakan fizikal, elakkan 3S (3C) iaitu jauhi kawasan sesak, elakkan kawasan sempit dan elak sembang jarak dekat

“Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan mendengar nasihat daripada KKM,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua penduduk di Bintulu untuk sentiasa mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan penuh tanggungjawab.

  • oleh
  • Advertisement