Anda di sini

Ketua masyarakat hargai usaha kerajaan perkenalkan BKSS 5.0

Advertisement
NORLEE
NORLEE
ANTAU
ANTAU

BINTULU: Kerajaan Sarawak telah mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 (BKSS 5.0) sebanyak RM405 juta untuk meringankan beban rakyat di negeri ini membabitkan 11 langkah yang dipanjangkan dari Januari hingga Jun 2021.

Peruntukan bantuan itu mendapat reaksi positif dari pelbagai pihak termasuk ketua-ketua masyarakat di bahagian ini yang menyifatkannya sebagai tepat pada masanya untuk membantu penduduk memerlukan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan banjir.

Ketua Kaum Kampung Masjid Jepak, Norlee@Basaran Bakar, 68, berkata, BKSS 5.0 memberi kebaikan kepada rakyat Sarawak yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban semasa rakyat menghadapi cabaran berdepan pandemik COVID-19.

“Wabak ini bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi negara, bahkan kehidupan serta pendapatan rakyat keseluruhannya,” katanya semasa dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, diskaun bil elektrik dan air serta sewa skim perumahan akan dapat membantu rakyat Sarawak yang terbeban dalam perbelanjaan bulanan mereka sama ada disebabkan pengurangan gaji oleh majikan, mahupun pendapatan bulanan yang berkurangan untuk pengusaha atau yang bekerja sendiri semasa tempoh ini.

Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memperkenalkan BKSS 5.0 yang akan membantu meringankan beban seluruh rakyat  Sarawak.

“Kita juga berharap dan berdoa agar penularan COVID-19 dapat diatasi serta memohon agar semua pihak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai satu tanggungjawab untuk menghentikan penularannya,” katanya.

Selain itu katanya, selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal penularan COVID-19, Norlee berkata pihaknya tidak akan membenarkan kemasukan orang luar ke Kampung Masjid Jepak untuk sementara waktu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan oleh Pejabat Daerah Bintulu.

Senada dengan Norlee ialah Tuai Rumah Antau Nabau, 52, dari Rumah Antau Bukit Tembawai Jipun, Jalan Hulu Sebauh yang berkata, BKSS 5.0 amat baik ketika semua rakyat pada masa ini memerlukan bantuan kerana terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

“Pergerakan dan kegiatan kita pada masa ini dalam mencari rezeki amat terjejas kerana itu semua pihak amat memerlukan bantuan daripada kerajaan dan kita amat mengalu-alukan BKSS 5.0 yang diberi kerajaan Sarawak ini,” katanya.

Advertisement