Anda di sini

Jaga kebersihan diri, keluarga elak penularan penyakit dalam komuniti

Advertisement
 Pasar Tamu Betong yang akan ditutup sementara mulai hari ini.
LANGKAH PERLU: Pasar Tamu Betong yang akan ditutup sementara mulai hari ini.

BETONG: Rakyat diseru menjaga kebersihan diri dan keluarga untuk mengelak penularan pandemik COVID-19 yang boleh menjejaskan kesejahteraan komuniti.

ADUN Layar Gerald Rentap Jabu berkata, hanya kesedaran diri setiap individu dapat mencegah penularan sebarang penyakit berjangkit.

“Jika berlakunya kes dalam kalangan komuniti atau yang melibatkan tempat dan ruang yang menjadi lokasi kunjungan ramai, maka harus dilakukan sanitasi untuk mencegah berlakunya sebarang jangkitan.

“Pada masa yang sama, kita mengingatkan rakyat untuk tidak panik dengan keadaan berlaku dan ikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“SOP dijalankan apabila ada kes positif (COVID-19) yang dikesan, maka proses nyahcemar perlu dilakukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung penutupan sementara Tamu Betong bermula hari ini.

Rentap berkata, langkah itu dibuat susulan salah seorang penjaja di situ didapati positif COVID-19.

“Keadaan ini mungkin mengundang kerisauan dalam kalangan masyarakat setempat. Saya memohon masyarakat Betong tidak panik dan ikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Mungkin hanya selepas ujian ke atas penjaja dan pelanggan dalam tempoh tertentu dengan keputusan yang lain negatif, baru Tamu Betong dibenar dibuka semula.

“Kita sedar keadaan sebegini bukan saja menjejaskan kesihatan, keselamatan bahkan ekonomi masyarakat kita yang mengharapkan hasil jualan sebagai sumber pendapatan.

“Saya juga memohon agar kita duduk di rumah dan hanya ke pasar kalau ada urusan penting.

“Kita mesti jaga diri kita, keluarga, jiran dan masyarakat Betong,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Betong (MDB) Charlie Keling memberitahu penutupan sementara pasar Tamu Betong berkuat kuasa 24 Januari dan akan dibuka sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Kita sedar penutupan tamu ini akan menjejaskan para penjaja dan orang awam yang memerlukan bekalan daging dan sayuran.

“Bagaimanapun, demi keselamatan penduduk di Bahagian Betong, kita terpaksa menutup tamu ini,” katanya.

Jelasnya, pihak MDB akan membuat kerja sanitasi di tempat tersebut yang akan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Betong.

Advertisement