Anda di sini

14 keluarga harungi detik cemas, tanah runtuh depan Rumah Timban

Advertisement
 Keadaan runtuhan tanah yang berlaku di hadapan Rumah Timban, Jalan Sebauh-Bintulu pagi semalam.
BERJAGA-JAGA: Keadaan runtuhan tanah yang berlaku di hadapan Rumah Timban, Jalan Sebauh-Bintulu pagi semalam.

BINTULU: Empat belas keluarga di Rumah Timban, Jalan Sebauh-Bintulu mengharungi detik cemas apabila tanah di bahagian hadapan rumah panjang berkenaan runtuh sekitar jam 10.26 pagi semalam.

Jurucakap Pasukan Bravo Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu berkata, semasa kejadian, rata-rata penduduk sedang berada di rumah panjang tersebut.

“Sepasukan anggota bomba dari BBP Bintulu bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di lokasi runtuhan,” ujarnya.

Setibanya di lokasi kejadian katanya, pasukan bomba mendapati sekitar 30 meter pekarangan rumah panjang terbabit sudah runtuh.

Menurutnya, jarak runtuhan dari rumah panjang terbabit hanya sekitar tiga meter dan penduduk bimbang dengan kemungkinan runtuhan susulan.

Setakat semalam katanya, rumah panjang terbabit masih selamat untuk didiami yang mana pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan bagi menjalankan pemeriksaan berhubung status keselamatan struktur tanah.

Difahamkan, setakat ini kesemua 110 penghuni masih berada di rumah panjang terbabit.

“Pasukan bomba dengan bantuan agensi berkaitan akan terus menjalankan pemeriksaan dari masa ke masa bagi memastikan bantuan dapat disalurkan buat penduduk sekiranya runtuhan masih berlaku,” tambahnya.

Advertisement