Anda di sini

Pemimpin PKR Sarawak setuju Darurat ditarik balik

Advertisement
 

KUCHING: Perisytiharan darurat perlu ditarik balik segera untuk negeri Sarawak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) diadakan mengikut jadual. 

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Joshua Jabeng (kiri) berkata situasi COVID-19 di Sarawak bukan pada tahap darurat. 

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu lakukan apa yang betul, sokong Pakatan Harapan (PH) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik perisytiharan darurat yang mana atas nasihat Perdana Menteri. Demokrasi harus dilindungi dan pilihan raya negeri harus diadakan seperti yang dijadual,” ujarnya ketika dihubungi hari ini. 

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing hari ini dilaporkan berkata ahli-ahli kabinet negeri telah mengadakan perbincangan tidak formal untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menarik balik perisytiharan darurat di negeri ini sekiranya dapat mengawal penularan COVID-19. 

Katanya jika rayuan itu dipertimbangkan dengan baik maka ia akan membuka jalan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kerana tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir Jun ini. 

Sementara itu Presiden PKR Sarawak Larry Sng (kanan) berkata keselamatan rakyat negeri ini perlu diutamakan sebelum mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam pandemik COVID-19. 

Larry yang juga Ahli Parlimen Julau berkata ia adalah tidak bermakna jika pilihan raya negeri jika merisikokan nyawa rakyat. 

“Keselamatan rakyat harus diutamakan. Hanya selepas majoriti rakyat Sarawak divaksin dan populasi kita menerima immuniti, baru lah kita boleh mengadakan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi The Borneo Post. 

Perisytiharan darurat telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lepas sehingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara. 

Sepanjang tempoh darurat, di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2001, antara lain, memperuntukkan larangan mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. 

  • oleh
  • Advertisement