Anda di sini

iGPS masih diteruskan kepada pelajar Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Inisiatif Graduan Pulang Sarawak ( iGPS) untuk pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan masih diteruskan meskipun kawalan pergerakan susulan COVID-19, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman (gambar).

Fazzrudin yang juga Penasihat Sarawak Volunteers berkata masih ada tuntutan dibuat penerima kini dikemukakan kepada Yayasan Sarawak.

“Buat masa ini iGPS masih berjalan. Ini kerana masih ada tuntutan dikemukakan kepada Yayasan Sarawak. Majoriti pelajar kini menjalani kelas secara atas talian dan hanya sedikit sahaja pelajar berada di kampus masing-masing,” katanya ketika dihubungi Borneo Post, hari ini.

Beliau menambah sebahagian daripada pelajar Sarawak mengikuti pengajian secara dalam talian di rumah masing-masing.

Diumumkan pada 2019 oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, subsidi berkenaan bertujuan untuk meringankan beban pelajar Sarawak yang perlu membelanjakan tiket penerbangan mahal kerana musim perayaan untuk pulang ke Sarawak.

Antara syarat dan terma mendapatkan subsidi iGPS ialah permohon mesti rakyat Sarawak berumur 18 tahun dan ke atas ketika penerbangan, pelajar sepenuh masa di mana-mana IPT di Malaysia yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Selain itu nilai subsidi adalah sebanyak RM300 seorang untuk satu perjalanan dari semenanjung Malaysia,Sabah dan Wilayah Labuan ke Sarawak dan seorang pemohon hanya boleh memohon sebanyak dua kali sahaja setahun.

Permohonan boleh dilakukan menerusi atas talian yayasansarawak.org.my atau memuat turun aplikasi telefon pintar Aplikasi Yayasan Pelajar Sarawak untuk iOS (Apple App Store) atau Android (Google Play Store).

Maklumat lanjut mengenai iGPS boleh didapati menerusi  laman sosial Facebook Sarawak Volunteers atau hubungi 011-33221107 semasa waktu pejabat.

Advertisement