Anda di sini

COVID-19: Dedah lokasi, bukan untuk menyusahkan

Advertisement
 Uggah memeriksa buku pendaftaran pelanggan di Medan Selera Pasar Bandar Riyal.
Uggah memeriksa buku pendaftaran pelanggan di Medan Selera Pasar Bandar Riyal.

KUCHING: Keputusan mendedahkan lokasi pernah dilawati kes positif COVID-19 kepada awam adalah demi kepentingan orang ramai serta menggalakan mereka tampil membuat saringan sekiranya pernah ke tempat yang sama.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata malahan keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) selepas perbincangan terperinci dengan pihak berkepentingan.

"Hari ini, saya melihat komen dari seorang politik mengenai perkara ini, saya merasakan beliau tidak faham tujuan kita mengeluarkan data berkenaan. Ia adalah penting kepada masyarakat umum agar mereka menyedari kes positif pernah melawat sesuatu tempat pada waktu dan tarikh tertentu, dan perkara seperti ini menggalakan mereka untuk membuat saringan. Ini tujuannya.

"Kita tidak ada tujuan lain, tiada tujuan untuk menyusahkan premis atau pemilik kedai, tetapi saya dapat merasakan pemilik juga sudah pasti mahu tahu tarikh kes melawat sesuatu tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tamu Bandar Riyal, Samarindah di Kota Samarahan.

Uggah yang juga pengerusi JPBNS berkata, dengan mendedahkan lokasi termasuk tarikh dan tempat yang dilawat kes positif COVID-19, ia menggalakan lebih ramai masyarakat tampil membuat saringan kerana bimbang mengenai jangkitan.

"Apa yang penting adalah kerjasama. Di Sibu misalnya ramai yang keluar tampil membuat saringan sehingga terdapat 10,000 sampel diambil dan ini adalah semangat yang kita galakkan.

"Jika ada yang merasa risau kerana pernah melawat tempat yang didedahkan pernah dilawati kes positif, mereka akan tampil membuat saringan," katanya.

Malahan Uggah berkata, apa yang penting mereka yang pernah melawat tempat yang sama pada waktu dan tarikh sama akan terus ke hospital atau klinik mendapatkan saringan kesihatan.

Sementara itu mengenai pematuhan prosedur pengendalian standard (SOP) oleh peniaga dan pelanggan di Pasar Tamu Bandar Riyal, Uggah berkata beliau amat berpuas hati kerana rata-rata mereka mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk merekodkan nama, menjaga penjarakkan fizikal selain memakai pelitup muka.

"Hari ini saya berpuas hati dengan penguatkuasaan di sini (pasar tamu) yang mana mereka mengamalkan pematuhan sangat tinggi dengan 99 peratus daripada vendor mematuhi SOP, hanya satu atau dua orang sahaja yang mungkin lupa.

"Pelanggan juga patuh dengan mendaftar nama serta memeriksa suhu badan dan ini menunjukkan rakyat Sarawak, sedar peranan mereka untuk membantu memerangi COVID-19," katanya.

Beliau berkata, dengan itu beliau berharap semua pihak sama ada rakyat biasa, penguatkuasa atau barisan hadapan agar terus bekerjasama sama melandaikan lekuk kes jangkitan COVID-19 di Sarawak.

Katanya, sama seperti sebelum ini Sarawak berjaya melandaikan lekuk berkenaan dan ia adalah atas kerjasama semua pihak demi kesihatan bukan sahaja diri sendiri tetapi keluarga dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

  • oleh
  • Advertisement