Anda di sini

Pelakon dan kru siri Amazon Prime ‘Tandav’ setuju buat perubahan

Advertisement
 Penyokong parti kerajaan India BJP menyertai protes terhadap siri sesawang baharu ‘Tandav’, di Mumbai pada 18 Januari lepas. Siri penstriman popular yang dibintangi bintang mega Bollywood Saif Ali Khan telah bersetuju untuk “melaksanakan perubahan” kepada program itu.  — Gambar AFP
PROTES: Penyokong parti kerajaan India BJP menyertai protes terhadap siri sesawang baharu ‘Tandav’, di Mumbai pada 18 Januari lepas. Siri penstriman popular yang dibintangi bintang mega Bollywood Saif Ali Khan telah bersetuju untuk “melaksanakan perubahan” kepada program itu. — Gambar AFP

BARISAN pelakon dan kru sebuah siri penstriman popular yang dibintangi bintang mega Bollywood Saif Ali Khan telah bersetuju untuk “melaksanakan perubahan” kepada program tersebut selepas ahli politik parti pemerintah menuduhnya menghina dewa-dewi Hindu.

Drama terbitan Amazon Prime ‘Tandav’, yang boleh dibandingkan dengan siri ‘House of Cards’ dari Amerika Syarikat, mengundang kritikan daripada ahli-ahli parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP), selepas ia dikeluarkan pada minggu lepas.

Beberapa ahli politik BJP menuntut agar siri itu diharamkan, dengan menyatakan ia “sengaja menghina dewa-dewi Hindu” dan tidak menghormati sentimen keagamaan.

Salah satu adegan yang dikritik menunjukkan satu pementasan universiti di mana dewa Hindu Shiva bercakap tentang “azaadi” (kebebasan), satu laungan keramat dari protes antikerajaan di seluruh negara pada 2019.

“Barisan pelakon dan kru ‘Tandav’ telah membuat keputusan untuk melaksanakan perubahan kepada siri sesawang itu bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan,” tulis pengarahnya Ali Abbas dalam satu paparan Twitter lewat Selasa lepas.

Barisan pelakon dan kru juga memohon maaf Isnin lepas, dan Zafar berkata Kementerian Penerangan dan Penyiaran telah memberitahu pasukan mereka bahawa ia telah menerima “sejumlah besar rungutan dan permintaan, dengan kebimbangan yang serius” berhubung siri itu.

“‘Tandav’ merupakan karya fiksyen dan sebarang persamaan dengan tindakan dan individu dan peristiwa adalah kebetulan semata-mata,” katanya Isnin lepas.

Para pembuat petisyen termasuk Ram Kadam, seorang penggubal undang-undang BJP di Mumbai, yang menyatakan dia “berjuang untuk maruah Hindu dan cuba memastikan tidak ada orang yang berani menghina dewa-dewi Hindu kami”.

Pelantar penstriman terkemuka, termasuk Netflix, Amazon dan Hotstar milik Disney, sudah memperluaskan kehadiran mereka di negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu, termasuk dengan mentauliahkan kandungan tempatan.

Servis TV penstriman tidak tertakluk kepada lembaga penapis negara itu yang terkenal cerewet dan kerap memotong adegan.

Namun seruan semakin meningkat, khususnya dari ahli politik BJP, agar program sedemikian juga ditapis.

Kontroversi terbaharu melibatkan versi TV terbitan BBC bagi novel paling laris Vikram Seth yang epik, ‘A Suitable Boy’, yang distrim di saluran  Netflix, berhubung satu adegan di mana seorang gadis Hindu mencium seorang budak lelaki Muslim di depan sebuah kuil.

Seorang ahli politik BJP pada November lalu memfailkan satu laporan polis kerana menurutnya siri itu menyinggung sentimen keagamaan orang Hindu. — AFP

Advertisement