Anda di sini

Misi MAFI Prihatin ringankan beban penduduk terkesan banjir di Pahang

Advertisement
 Kiandee (tengah) pada majlis pelancaran Misi MAFI Prihatin bagi ringankan beban penduduk terkesan banjir di Pahang.
MAFI PRIHATIN: Kiandee (tengah) pada majlis pelancaran Misi MAFI Prihatin bagi ringankan beban penduduk terkesan banjir di Pahang.

PUTRAJAYA: Bagi meringankan beban penduduk yang terkesan banjir di negeri Pahang, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melancarkan Misi MAFI Prihatin ke negeri tersebut.

Misi Bantuan MAFI Prihatin ini melibatkan penghantaran bantuan makanan, keperluan asas dan peralatan elektrik ke empat Parlimen di Pahang iaitu di Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Maran.

Pelaksanaan Misi MAFI Prihatin ini merupakan inisiatif Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang turut melakukan pelepasan misi ini dari Wisma Tani yang bertolak ke Pahang.

Pada majlis yang sama, Kiandee turut menyampaikan replika cek sumbangan daripada Persatuan Kebangsaan Bagi Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCID) kepada Ahli Parlimen Lipis Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Latif, Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan bagi Parlimen Jerantut diterima wakilnya Mahathir Latif.

Setiap Parlimen menerima sumbangan RM16,125 yang merupakan sumbangan luar yang disalur kepada MANCID untuk bencana banjir.

Hadir sama pada sesi pelepasan ini adalah Timbalan Menteri MAFI 1 Datuk Sri Ahmad Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Dr Anis Mahmud.

Bantuan Banjir MAFI Prihatin merupakan hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah MAFI antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain produk makanan, turut disampaikan juga tajaan beras oleh pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Bantuan lain pula berupa barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas bagi membantu meringankan beban penduduk di kawasan yang terjejas banjir terutamanya kumpulan sasar MAFI iaitu petani, penternak dan nelayan yang akan diserahkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terlibat.

Pada masa sama, Misi MAFI Prihatin ini akan diteruskan ke negeri-negeri yang terjejas banjir bagi meringankan beban mangsa banjir.

Pada awal bulan lalu, MAFI menerusi jabatan serta agensinya telah menyerahkan Kit Makanan Permulaan (KMP) untuk mangsa dan warga MAFI yang terjejas banjir di Johor dan Pahang.  Selain itu, sebanyak 32,000 unit KMP juga telah diedarkan kepada Angkatan Pertahanan Awam di peringkat negeri dan daerah terutamanya di Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Sabah.

  • oleh
  • Advertisement