Anda di sini

29 dikompaun, 300 kenderaan diarah patah balik 

Advertisement
HABIBI
HABIBI

KOTA KINABALU: Polis mengenakan kompaun kepada 29 individu yang masih ingkar terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini sejak dilaksanakan 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua individu yang dikompaun adalah mereka yang dikesan berkumpul dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

“Kita juga mengarahkan 300 kenderaan berpatah balik di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dibuka di sempadan daerah bagi menghalang pengguna jalan yang tidak mempunyai alasan kukuh melakukan pergerakan rentas daerah ke sini sejak Sabtu lalu.

“Kesemua yang diarahkan untuk berpatah balik adalah berdasarkan alamat pada kad pengenalan pemandu selain alasan tidak munasabah yang diberikan kepada pegawai serta anggota polis yang bertugas di SJR,” katanya.

Habibi berkata jumlah individu yang menerima kompaun dilihat sedikit bukan bermakna pihak polis tidak menjalankan tugas pematuhan secara tegas tetapi ianya disebabkan tahap pematuhan masyarakat di sekitar ibu negeri yang memuaskan.

“Kita melihat masyarakat sangat menitikberatkan pematuhan SOP di kawasan awam dengan mengamalkan norma baharu di premis dan kawasan awam lain.

“Pemeriksaan serta tinjauan di premis hiburan juga tidak mengesan sebarang penyalahgunaan lesen restoran berikutan tiada pelanggan yang dibenarkan masuk dan makan di dalam premis dan sebahagian besar pemilik patuh dengan arahan terbabit,” katanya.

Tambahnya beliau menggerakkan sejumlah 1,270 pegawai serta anggota untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan sepanjang PKP manakala sebahagian besar daripada jumlah itu ditugaskan untuk pencegahan jenayah.

Dalam perkembangan berasingan, pihak polis sudah memanggil dua wanita dan enam lelaki yang terlibat dalam isu membabitkan sekumpulan individu yang meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Likas baru-baru inj bagi membantu siasatan.

“Dalam masa terdekat kita akan mengumpulkan bahan bukti untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi mendapatkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit No.9 2020,” katanya.

Advertisement