Anda di sini

Spike Lee terus dapat pengiktirafan di Hollywood

Advertisement
SPIKE LEE
SPIKE LEE

PENGARAH dan pengeluar terkemuka Hollywood, Spike Lee telah menyuarakan harapan bagi ‘gelombang seterusnya’ untuk pembikin filem Kulit Hitam, namun memberikan amaran bahawa karier beliau sendiri yang sedang berkembang adalah masih jauh lagi, ketika beliau menerima penghormatan oleh Hollywood dalam satu acara secara maya baru-baru ini.

Disebabkan oleh pandemik koronavirus, Lee telah menerima American Cinematheque Award yang berprestij di atas talian berbanding dengan acara gilang-gemilang kebiasaan dipenuhi dengan para bintang Beverly Hills.

Pengarah prolifik berusia 63 tahun itu, yang telah menghibur dan mencabar audiens dengan gambaran jujur tentang Black America selama berdekad-dekad, berjanji dia “masih ada beberapa filem lagi untuk dibuat”.

“Jika anda amat menyukai apa yang anda buat, anda dapat menangguhkan masa,” katanya kepada pengacara majlis Jodie Foster.

Acara yang distrim secara langsung itu menyaksikan Lee diberi pujian oleh bintang seperti Foster, Angela Bassett, Rosie Perez dan pengarah ‘Black Panther’ Ryan Coogler, yang menggelarnya seorang ‘perintis jalan’.

Anugerah itu disampaikan dari jauh oleh barisan pelakon filem Lee baru-baru ini berjudul ‘Da 5 Bloods’ di mana askar kulit hitam yang sudah tua kembali ke Vietnam beberapa dekad selepas peperangan.

Lee, yang masih mengajar perfileman di alma maternya Universiti New York, memuji balik para pembuat filem hitam yang lebih muda termasuk Coogler.

“Apabila saya melihat gelombang seterusnya naik dan meneruskan perkara ini, ia membuatkan saya rasa gembira,” kata Lee.

“Orang paling gembira dengan kejayaan ‘Black Panther’ adalah anda, Disney, dan saya ... ketiga,” katanya kepada Coogler.

Kedua-dua lelaki itu mengingat kembali bintang ‘Black Panther’, Chadwick Boseman, yang muncul dalam ‘Da 5 Bloods’ sebelum dia tewas kepada kanser pada Ogos lalu.

Tidak ramai pelakon dapat membawa watak askar Stormin’ Norman yang “disanjungi” dan “hampir mitos”, kata Lee.

“Saya amat menyukainya dan saya merinduinya.. walaupun dia hanya bersama kita bagi jangka waktu yang terhad, dia memberikan begitu banyak sekali perkara kepada kita,” tambah Coogler.

Anugerah The American Cinematheque merupakan “anugerah pencapaian pertengahan karier”, dengan penerima sebelum ini termasuk AL Pacino, Tom Cruise dan Steven Spielberg.

Sebelum menerimanya, Lee memerhatikan banyak filemnya “tidak difahami audiens serta merta” tetapi telah dinilai semula sejak beberapa tahun lalu.

Lee menerima anugerah Oscar kehormat pada 2015, dan memenangi anugerah Oscar kompetitif pertamanya empat tahun kemudian dengan lakon layar adaptasi terbaik untuk ‘BlacKkKlansman’.

Pada tahun lepas dia dinamakan sebagai orang pertama berkulit hitam yang berasal dari Afrika untuk mempengerusikan Festival Filem Cannes.

“Marilah kita terus menggerakkannya!” Lee merumuskan ketika dia menerima penghormatannya. — AFP

Advertisement