Anda di sini

PKP: Lelaki memancing di parit antara dikompaun di Sibu

Advertisement
Lelaki yang memancing di parit di Jalan Kemuyang turut dikompaun atas kesalahan melakukan aktiviti riadah
Lelaki yang memancing di parit di Jalan Kemuyang dikompaun atas kesalahan melakukan aktiviti riadah semasa PKP

SIBU: Seorang pemancing antara lima individu dikompaun RM1,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) setakat Selasa, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana di daerah ini 16 Januari lalu.  

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan ketika memancing di parit di Jalan Kemuyang pada Selasa, sekitar 6 petang. 

"Lelaki itu ditahan kerana melakukan aktiviti riadah (memancing) iaitu kesalahan di bawah peraturan PPPPB (No.3) 2021 (Akta 352) 1988 di kawasan PKP daerah Sibu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Stanley berkata antara kesalahan melanggar SOP PKP yang dikesan adalah individu yang menjual durian di tepi jalan dan tiga individu menaiki kenderaan tanpa alasan munasabah.

Katanya, dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki sebuah kereta ditahan semasa 'snapcheck' di Jalan Wong Soon Kai pada 10.20 pagi Selasa.

Katanya, tiga sekeluarga iaitu pemandu kereta berusia 52 tahun, isteri, 50, dan seorang anak lelaki, 28, dikompaun kerana memasuki kawasan PKP daerah Sibu tanpa alasan munasabah (tiga orang dalam sebuah kenderaan).

Menurutnya, sejumlah 40 kenderaan dan 60 orang diperiksa pada semasa pemeriksaan dilakukan di Jalan Wong Soon Kai.

Kesemua lima individu itu yang dikompaun dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia daerah Sibu untuk menjelaskan kompaun RM1,000 dalam tempoh 14 hari.

Beliau menambah bahawa tahap pematuhan PKP di daerah ini adalah 98 peratus.

"Pasukan pemantauan PKP akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati ingkar SOP dan tidak akan teragak-mengeluarkan kompaun tanpa amaran lagi.

"Orang diminta agar mematuhi SOP yang ditetapkan selain terus mendisiplinkan diri dengan kawalan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19," tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement