Anda di sini

Kes pukul di restoran: Ahli perniagaan bergelar Datuk, rakan mengaku bersalah

Advertisement
 
Tan bersama rakannya Ang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengganggu pelanggan serta pekerja di sebuah restoran. - Gambar Bernama 
Tan (kiri) bersama rakannya Ang (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengganggu pelanggan serta pekerja di sebuah restoran. - Gambar Bernama 

PETALING JAYA: Dua pengarah syarikat termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ yang videonya tular di media sosial kerana memukul pelanggan di sebuah restoran di Tropicana Avenue di sini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengganggu pelanggan serta pekerja restoran itu.

Datuk Tan Wai Khan, 42, dan rakannya Ang Mow Loong, 40, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abd Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama telah mendatangkan kecederaan dengan memukul Kwan Pei Choong, 31, di sebuah restoran di Tropicana Avenue, Damansara pada 9 malam, 12 Jan lepas, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga  RM2,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua lelaki itu juga dituduh bersama-sama melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada pelanggan dan pekerja di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa yang membawa hukuman denda maksimum RM400.

Sementara itu, Tan turut mengaku bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan dengan memukul Magdalene Wong Chung Yi, 31, dan rakannya Lee Dek Quan, 25, pada tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan cara memecahkan pinggan mangkuk milik Kwan, pada tempat dan masa sama mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 2 April untuk sebutan semula kes-kes tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh, namun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Tan dan Ang, memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan, selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan Tan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala Ang sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, bagi kesemua pertuduhan dihadapi mereka. 

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi 29 saat, yang memaparkan insiden pukul di restoran berkenaan dan siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku apabila Tan berang ditegur seorang pelanggan di restoran berkenaan, kerana bercakap dengan nada suara yang tinggi. - Bernama 

Advertisement