Anda di sini

11 remaja mengaku salah gaduh depan hotel kerana salah faham libatkan perempuan

Advertisement
 

KUCHING: Seramai 11 remaja lelaki mengaku bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan terlibat dengan kes gaduh di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Abang Haji Openg yang dipercayai berpunca daripada salah faham melibatkan wanita.

Majistret Zaiton Anuar bagaimanapun menetapkan kes disebut semula pada 18 Februari untuk laporan akhlak dan 24 Februari depan untuk laporan sosial memandangkan kesemua tertuduh berusia antara 14 hingga 18 tahun.

“Sementara menunggu tarikh tersebut, pesalah kanak-kanak dan pesalah muda masing-masing dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM10,000 dengan ibu bapa atau penjaga sebagai penjamin,” ujar Zaiton semasa prosiding.

Mengikut pertuduhan, kesemua remaja tersebut didakwa menyertai rusuhan dan memiliki senjata yang boleh digunakan menyerang iaitu sebilah pisau, batang besi dan topi keledar dalam kejadian pada jam 11.50 pagi, 17 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Berdasarkan keterangan kes, sekumpulan lelaki seramai lima hingga enam orang telah masuk ke lobi ke hotel tersebut dengan tujuan untuk mencari tetamu di sana. 

Pengawal keselamatan hotel (pengadu) seterusnya menyuruh mereka keluar supaya tidak timbul kekecohan tetapi ada antara tertuduh telah membuat bising serta memarahi pengadu lelaki tersebut.

Salah seorang tertuduh berusia 18 tahun yang berbadan tegap dan tinggi juga mengugut hendak menumbuk pengadu serta rakan sekerjanya yang lain. 

Kemudian, seramai tujuh lelaki telah turun dari bilik tingkat atas dan membuat bising di lobi hotel sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh terus melarikan diri setelah pihak hotel menghubungi polis. 

Dalam pada itu, seorang tertuduh yang mengugut hendak menumbuk pengawal keselamatan hotel berusia 41 tahun dalam kes ini juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mahkamah menetapkan tertuduh yang mengaku bersalah itu untuk dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM5,000 dengan ibu bapa sebagai penjamin dan memerintahkan kes disebut semula pada 19 Februari depan untuk mendengar Laporan Sosial. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement