Anda di sini

SPK dinaik taraf dengan kos RM3 juta

Advertisement
 Dr Abdul Rahman (dua kanan) diiringi Jakaria (tiga kanan) semasa lawatan ke kolam ikan di SPK, Limbang semalam.
NAIK TARAF: Dr Abdul Rahman (dua kanan) diiringi Jakaria (tiga kanan) semasa lawatan ke kolam ikan di SPK, Limbang semalam.

LIMBANG: Stesen Pertanian Kubong (SPK) yang usang akan dinaik taraf dalam memperkasakan peranannya untuk menyediakan latihan kepada petani dalam semua sektor termasuk perikanan, perladangan dan penternakan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bagi tujuan itu sebanyak RM3 juta akan dibelanjakan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Beliau berkata lagi, sejumlah RM500,000 turut dibelanjakan di bawah Jabatan Pertanian Limbang pada 2019 dan 2020 dengan peruntukan tambahan RM300,000 pada tahun ini untuk menambah baik stesen tersebut.

“SPK ini sangat diperlukan sejajar dengan fokus kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran produk berasaskan pertanian sekali gus mencapai hasrat menjadikan Sarawak sebagai pengeluar produk pertanian menjelang 2030,” katanya ketika melawat SPK dekat sini, semalam.

Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Pertanian Bahagian (Pembangunan) Jakaria Rambli.

ADUN Bukit Kota itu menjelaskan, Sarawak melakukan penambahbaikan terhadap semua stesen pertanian yang ada di negeri ini termasuk di SPK yang sudah usang.

Jelasnya, kerja penambahbaikan kini berjalan lancar dan projek tersebut dijangka siap pada Oktober tahun ini.

“Apabila siap nanti, kita akan dapat memfokus untuk menjadikan SPK sebagai pengeluar beberapa jenis ikan di Limbang.

“Ini amat penting untuk meningkatkan bekalan ikan di Limbang yang selama ini bergantung kepada bekalan ikan dari negeri Sabah,” ujarnya.

Menurutnya, SPK akan menumpukan kepada pengeluaran dan penternakan ikan yang mendapat sambutan seperti empurau dan semah, di samping ikan lain seperti lampam jawa dan tilapia.

“Kita juga meminta pihak Pertanian untuk mendapatkan benih udang kara.

“Dengan ini apabila kita berjaya mengeluarkan dan menternak ikan dan udang kara dengan kualiti dan kuantiti baik, kita juga boleh menjadi pengeksport ternakan ini ke luar,” ujarnya.

Beliau menambah kata, kerajaan juga sedang mengenal pasti syarikat peneraju bagi semua produk yang dihasilkan untuk datang ke Limbang.

“Kita mengalu-alukan mana-mana syarikat peneraju untuk semua produk pertanian ini dan kita boleh bantu dari segi latihan dan sebagainya,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement