Anda di sini

PERMAI: Bomba turut terima pemberian RM300 petugas barisan hadapan

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang merupakan sebahagian daripada petugas barisan hadapan akan turut menerima bantuan one-off sebanyak RM300 yang diumumkan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata bantuan itu membuktikan kerajaan amat prihatin menghargai peranan mereka yang bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian sekali bayaran sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan lain yang mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.

Zuraida berkata PERMAI yang mengandungi 22 inisiatif dengan nilai keseluruhan RM15 bilion membuktikan kerajaan proaktif menangani kesan ekonomi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. 

"Suntikan fiskal langsung melalui pelbagai inisiatif membela kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini. - Bernama 

Advertisement