Anda di sini

Penunggang motosikal maut, terbabas di jejambat Serian

Advertisement
 Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING: Seorang penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 60, Jalan Kuching-Sri Aman di Serian malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Mohammad Eldi Hanani, 30, dan beralamatkan dari Kampung Hilir, Serian.

Menurutnya, mangsa semasa kejadian menunggang bersendirian dari bandar Serian menuju ke arah Sri Aman, sekitar jam 9.50 malam.

"Setiba di lokasi kejadian, dipercayai motosikal mangsa telah hilang kawalan semasa melalui kawasan berselekoh di atas  jejambat.

"Ekoran itu, motosikal mangsa telah melanggar tembok pembahagi jalan lalu terseret di atas jalan raya menyebabkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serian.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Motosikal mangsa pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan selanjutnya," kata Alexson.

  • oleh
  • Advertisement