Anda di sini

Pelajar parah jatuh tingkat tiga

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pelajar berumur 17 tahun cedera parah apabila terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah menengah di Petra Jaya, hari ini.

Susulan kejadian pada pukul 6:30 pagi, dia dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan menerima rawatan di unit kecemasan.

Menurut cerita bapa pelajar terbabit, ketika menghantarnya ke sekolah, anaknya berkelakuan seperti biasa dan tiada menceritakan apa-apa masalah.

Ketika dalam perjalanan ke sekolah, anaknya meminta untuk mengunting rambut selepas sekolah.

"Dia memberitahu dia pulang sekolah sekitar pukul 1:00 tengah hari. Saya sempat bergurau dengannya untuk membiarkan rambutnya panjang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dia ketawa selepas itu," katanya ketika ditemui di pekarangan HUS.

Sambil menyifatkan anaknya sebagai seorang pendiam, beliau terkejut selepas dimaklumkan mengenai insiden menimpa anaknya dan terus bergegas ke HUS.

"Memang tidak ada yang luar biasa selama beberapa hari ini, cuma dia ada mengadu mengenai komputernya sahaja dan meminta saya belikan yang baharu," katanya.

Ditanya mengenai persekolahan, beliau memberitahu anaknya belajar dalam aliran sains dan mereka sekeluarga juga tidak memberikannya tekanan untuk belajar.

"Saya selalu mengingatkan dia agar jangan paksa diri, sebab kami hanya mahu dia pandai menulis dan membaca sudah cukup," katanya.

Mangsa yang sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas memulakan sesi persekolahan hari ini selepas kerajaan membenarkan kelas-kelas yang menduduki peperiksaan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan.

  • oleh
  • Advertisement