Anda di sini

PdPR bermula, ibu bapa perlu menjadi ‘guru sementara’

Advertisement

MIRI: Semua murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima di sekolah menengah akan menjalani sesi Pe-ngajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok (hari ini).

MISIAH
MISIAH

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lutong Kaunselor Misiah Abdullah berkata, ibu bapa harus memainkan peranan menjadi ‘guru sementara’ sepanjang PdPR berlangsung.

“Kita maklum bahawa sesi persekolahan secara bersemuka telah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, namun sesi PdPR masih berjalan dan ibu bapa perlu menjadi guru sementara memantau pembelajaran di rumah,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Misiah berkata, ia adalah norma baharu yang perlu menjadi kebiasaan ibu bapa dan pelajar ketika kerajaan sedang mendepani isu kesihatan global yang kritikal.

“Ibu bapa perlu memastikan komunikasi antara pelajar dan guru adalah pada tahap baik agar sesi PdPR secara dalam talian berjalan lancar tanpa sebarang keciciran pembelajaran,” jelasnya.

Misiah berkata, memang agak sukar pelajar mengadaptasi kaedah pembelajaran norma baharu kerana tidak bersemuka dengan guru berbanding kaedah sebelumnya.

“Di sinilah ibu bapa perlu memberi sokongan dan memastikan anak-anak mereka mengikuti sesi PdPR tanpa sebarang gangguan,” jelasnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan COVID-19.

Menurut satu kenyataan, KPM memaklumkan bahawa sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

ISHAK
ISHAK

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PIBG SMK Dato Permaisuri Ishak Baijuri turut bersetuju dengan pe-nangguhan sesi persekolahan ekoran peningkatan kes COVID-19 yang mencecah empat angka setiap hari.

“Keputusan ini bertepatan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah, bagaimanapun bagi pelajar yang menduduki peperiksaan awam dan akan bersekolah, perlu mematuhi SOP ketat,” katanya.

Menurut Ishak, cabaran pendidikan ketika ini amat ber-beza dengan kerajaan terpaksa mengutamakan kesihatan pelajar namun tidak mengetepikan bidang pendidikan.

“Kita berharap sesi persekolahan bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan dan PdPR berjalan lancar serta keselamatan pelajar juga terjamin,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement