Anda di sini

MARA teruskan moratorium bantu golongan terjejas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peminjam kemudahan Pinjaman Pelajaran dan Pembiayaan Perniagaan MARA yang terjejas akibat COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir boleh memohon penjadualan semula atau penangguhan pinjaman pelajaran dan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan.

Selain itu, penyewa premis perniagaan MARA turut mendapat pemberian 30 peratus diskaun ke atas sewa bagi tempoh enam bulan bermula November 2020 hingga April 2021.

Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya menyambut baik hasrat kerajaan untuk terus membantu rakyat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhdiddin Yassin di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

“Pengumuman ini termasuklah saranan kerajaan untuk MARA melanjutkan tempoh moratorium (penangguhan) dan penjadualan semula kemudahan Pinjaman Pelajaran di samping inisiatif lain yang disasarkan kepada komuniti usahawan iaitu menjadualkan semula Pembiayaan Perniagaan dan diskaun sewaan premis perniagaan MARA,” katanya dalam kenyataan medianya semalam.

Beliau berkata, inisiatif MARA di bawah program MARA PRIHATIN ‘Peace of Mind 2.0’ ini diteruskan dengan matlamat untuk membantu meringankan beban rakyat terutamanya para pelanggan MARA ketika menghadapi situasi yang sukar ini.

“Melalui pemberian moratorium, penjadualan semula dan lanjutan diskaun sewa kali ini, MARA menyasarkan seramai 10,000 pelajar akan menerima manfaat penangguhan pinjaman dengan nilai RM4 juta, manakala 1,500 orang usahawan yang mendapat pembiayaan perniagaan turut akan mendapat penjadualan semula bayaran balik dengan nilai sebanyak RM4.8 juta.

“Di samping itu, seramai 5,500 penyewa premis perniagaan MARA akan menikmati diskaun sewaan melibatkan nilai diskaun sebanyak RM6.6 juta.

“Secara keseluruhannya, dianggarkan seramai 17,000 usahawan dan peminjam pelajaran MARA bakal mendapat manfaat dengan keseluruhan moratorium dan diskaun sewaan mencecah RM15.4 juta sehingga April kelak,” katanya.

Jelas beliau lagi, sepanjang tempoh pelaksanaan insentif yang diberikan pada tahun lalu yang dilaksanakan secara automatik bagi tempoh tiga bulan bermula Mac hingga Jun 2020, MARA telah meluluskan moratorium kepada 81,442 peminjam pinjaman pelajaran MARA dengan implikasi kewangan sebanyak RM35.15 juta.

“Manakala sebanyak 3,157 permohonan moratorium kemudahan pembiayaan perniagaan telah diluluskan dengan implikasi kewangan sebanyak RM19.6 juta.

“MARA juga telah memberi pengecualian sewa kepada penyewa premis perniagaan MARA yang melibatkan seramai 5,685 penyewa dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.5 juta. Ia dituruti dengan pemberian diskaun sewaan premis perniagaan yang telah dilaksanakan selama tempoh empat bulan mulai Jun hingga September 2020 telah melibatkan 3,802 penyewa dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta.

“MARA sentiasa berusaha untuk membantu komuniti Bumiputera terutamanya pelanggan MARA sejajar dengan inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu PKS serta usahawan yang terjejas,” katanya.

Penerima kemudahan pinjaman MARA yang berkaitan boleh memohon secara dalam talian melalui www.mara.gov.my.

  • oleh
  • Advertisement