Anda di sini

Empat berselisih maut dalam kemalangan di simpang

Advertisement
 Motosikal yang dirempuh salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Masjid Lama di Sarikei, semalam.
TERPEROSOK: Motosikal yang dirempuh salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Masjid Lama di Sarikei, semalam.

SARIKEI: Tiga lelaki dan seorang wanita terbayang maut apabila terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Masjid Lama di sini, pagi semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kemalangan yang melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal itu berlaku sekitar jam 8.30 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Sarikei telah dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi.

Setiba di tempat kejadian didapati tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan yang berpunca daripada dua kenderaan yang bertembung dan salah sebuah kenderan terbabit merempuh sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 59 tahun.

Penunggang motosikal itu bagaimanapun cedera ringan pada bahu kanan manakala dua pemandu kereta berusia 79 dan 52 tahun juga cedera ringan.

Pihak ambulans yang tiba di lokasi kemudian membawa penunggang motosikal dan seorang wanita yang merupakan penumpang salah sebuah kereta terbabit ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Pihak bomba tidak melakukan sebarang operasi menyelamat dan hanya memotong wayar bateri pada kedua-dua kenderaan tersebut.

Anggota bomba hanya menjalankan pembersihan menggunakan air untuk membersih serpihan kaca yang bertaburan di atas jalan raya sebelum bertolak balik ke balai.

Advertisement