Anda di sini

COVID-19 amat memedihkan - Ira Junu

Advertisement
 

KUCHING: “Ingatkan demam biasa, rupa-rupanya saya positif COVID-19,” demikian kata pesakit COVID-19, Ira Junu.

Ira berasal dari Miri dan kini bekerja di Johor pada awalnya beliau menganggap ia adalah demam biasa.

Dia mula mengalami demam teruk pada 13 Januari selain mengalami pening kepala, sakit sendi, cirit birit dan sesak nafas selama empat hari sebelum membuat keputusan untuk ke hospital pada 16 Januari.

Katanya dia telah menjalani ujian calitan pada hari berkenaan dan disahkan positif oleh Hospital Sultan Ismail pada 18 Januari.

“Apa yang saya alami sangat menyakitkan, ia bukan seperti demam biasa, demam yang berpanjangan, sakit sendi, batuk, hilang deria rasa, pening kepala, hilang selera makan, muntah dan cirit-birit.

“Sakitnya menusuk hingga ke jantung, pada saat itu hanya Tuhan sahaja tahu betapa sakitnya apa yang dialami pesakit COVID-19 (bergejala),” katanya kepada Utusan Borneo Online ketika dihubungi menerusi WhatsApp, semalam.

Ira katanya bagaimanapun hanya diarahkan menjalani kuarantin di rumah - mungkin sebab pusat kuarantin agak sesak dan hospital tidak mampu lagi menampung pesakit.

Ira yang bekerja sebagai operator kilang berkata, dia mungkin telah dijangkit virus pembawa maut itu di tempat kerja kerana sebelum itu terdapat kes positif.

“Apa yang dialami ini memang menyakitkan dan kepada orang ramai, rakan-rakan diluar sana, ada sebab kerajaan kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demi keselamatan dan kesihatan kita.

“Namun masih ada yang ingkar semua itu, saya berharap mereka diluar sana bersama kita membantu kerajaan Malaysia mengekang COVID-19 ini dan terus patuhi prosedur operasi standard (SOP)  PKP baik,” katanya sambil memberitahu selain kerap membasuh tangan dan menggunakan pelitup muka semasa keluar rumah.

Wanita berusia 25 tahun itu berkata, dalam tempoh berkenaan dia perlu mengambil vitamin C memandangkan tiada ubat khusus untuk merawat ketika ini.

“Namun keadaan saya makin pulih setakat ini dan berdoa akan bebas COVID-19,” katanya sambil menambah, mujur dia tinggal seorang, justeru mudah untuknya menjalani kuarantin di kediamannya.

Terdahulu, Ira memuat naik status di Facebooknya bahawa dia telah dikuarantin selama tiga hari dah disahkan positif COVID-19 pada hari yang sama.

Ira dalam statusnya turut memohon doa daripada rakan, keluarga dan orang ramai agar dapat sembuh dari jangkitan berkenaan.

Sementara itu pada Isnin Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mengubah dasar membabitkan pesakit COVID-19 dengan menetapkan pesakit tahap satu dan dua tidak perlu ke hospital, sebaliknya hanya dikuarantin di rumah.

Pesakit COVID-19 tahap satu merujuk pada individu dijangkiti yang tidak bergejala dan tahap dua pula adalah bergejala ringan.

Perubahan dasar itu perlu bagi mengurangkan beban petugas kesihatan, selain mengelak fasiliti kesihatan seperti katil, ruang wad dan alat bantuan pernafasan melebihi tahap maksimum jika kes baharu terus merekodkan pertambahan mendadak.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, katanya pesakit tahap satu dan dua boleh dikuarantin di rumah kerana tidak memerlukan pemantauan doktor.

  • oleh
  • Advertisement