Anda di sini

Ambil kisah perihal ubat, perlukah wujud peraturan khas?

Advertisement

Isu buang ubat dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuk pesakit yang diberi ubat oleh hospital kerajaan mungkin bukan perkara baru, dan mungkin juga ianya masih berterusan.

Artikel lima siri ini antaranya menyentuh aspek sikap yang bukan sahaja menjurus kepada pembaziran tetapi juga isu perundangan, masalah kesihatan terutama penyakit tidak berjangkit yang wajar diberi perhatian serta kesan kepada alam sekitar akibat cara pelupusan ubat yang tidak tepat.

Ini siri dua daripada lima.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Oleh Shanika Abdullatib dan Muhammad Basir Roslan

“Terlepas pandang”, “tidak tahu” dan “sayang nak pulangkan ubat sebab sudah dibayar”.

Itu antara jawapan yang penulis kumpulkan ketika melakukan tinjauan ringkas baru-baru ini mengenai Program Pemulangan Ubat yang diwujudkan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak tahun 2010. 

Lebih mengejutkan, ada dalam kalangan rakan yang berkongsi bahawa doktor yang ditemui mereka tidak memberi nasihat atau panduan apa yang perlu dilakukan sekiranya ubat diberikan tidak sesuai atau tamat tempoh. 

Justeru, sejauh mana keberkesanan program tersebut dalam mendidik masyarakat? Adakah cukup sahaja dengan penerangan ketika konsultasi dilakukan, memasang sepanduk atau perlukah diwujudkan satu peraturan khas bagi ‘menghukum’ mereka yang tidak cakna dalam pengambilan ubat?

TIDAK PRAKTIKAL WUJUD PERATURAN KHAS

Pengarah Bahagian Etika dan Perundangan, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Dr Faizi Rosli berpendapat, penetapan satu akta baharu atau peraturan yang khusus bagi ‘menghukum’ pesakit yang membazirkan ubat tidak begitu praktikal untuk dilaksanakan.

Ini memandangkan ia memerlukan tempoh yang panjang dan perlu berdepan prosedur yang merumitkan. 

“Langkah terbaik adalah mengemas kini senarai, semak latar belakang atau menambah beberapa perkara dalam senarai semakan temu bual pesakit ketika mereka berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi. Daripada senarai semakan ini, doktor akan tahu dengan lebih mendalam mengapa pesakit tidak patuh dengan pengambilan ubat. 

“Mungkin pil yang diberi terlalu besar, jadual pengambilan ubat yang terlalu kerap atau ketidakmampuan pesakit untuk makan ubat sendiri turut menyebabkan pesakit gagal patuh hingga menyebabkab pembaziran ubat,” katanya. 

Beliau menjelaskan lagi, kesan sampingan yang dialami daripada ubatan juga menjadi penyebab sesetengah pesakit memberhentikan rawatan dan tidak mengambil ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor. 

Keengganan pesakit untuk berkongsi masalah turut menyebabkan pembaziran ubat yang dibekalkan sedangkan doktor atau ahli farmasi sentiasa ada alternatif bagi memudahkan pesakit mengambil ubatan mereka.

ENGGAN BERBINCANG DENGAN DOKTOR

“Jangan takut kena marah dengan doktor atau malu untuk berbincang jika anda ada sebarang masalah terutama mengenai kesesuaian ubat,” ini nasihat Dr Faizi.

Menurut beliau, pesakit sentiasa boleh berbincang dan tiada siapa yang tahu masalah mereka jika tidak berkongsi dan dalam hal ini, berkaitan ubat mereka.

Turut merumitkan keadaan, jelas beliau, adalah apabila masyarakat mempunyai tanggapan bahawa ubat-ubatan yang mereka ambil untuk jangka masa yang panjang akan menyebabkan komplikasi lain pada tubuh.

Beliau menegaskan, tanggapan sedemikian hanyalah mitos sedangkan hakikatnya, penyakit kronik yang tidak terkawal itu sendiri akan mencetuskan pelbagai komplikasi lain yang tidak diingini. 

Justeru, adalah sangat penting untuk para pengamal perubatan menjelaskan kepada pesakit mengenai perkara tersebut.

Selain menambah baik senarai semakan pesakit, Dr Faizi berpendapat, sistem imbuhan seperti yang diguna pakai dalam kempen derma darah boleh diamalkan bagi menarik orang ramai memulangkan semula ubat yang sudah tamat tarikh luput.

“Ia sebagai menghargai mereka yang sanggup meluangkan masa untuk datang ke hospital bagi memulangkan ubat ke saluran yang betul. Mungkin kita boleh hargai dengan memberi kelebihan laluan ekspres apabila mereka datang mendapatkan rawatan susulan atau apa-apa saja ganjaran,” jelasnya.

PERHALUSI PROGRAM PEMULANGAN UBAT

Bagi Dekan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Makmor-Bakry pula, banyak perkara perlu diperhalusi dalam memastikan Program Pemulangan Ubat tersebut berjaya dan seterusnya memberi impak yang besar kepada pematuhan pengambilan ubat dan mengurangkan pembaziran ubatan. 

Jika tidak, negara terpaksa berdepan dengan kerugian yang besar dan berdasarkan Laporan Program Farmasi 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia, peningkatan nilai perolehan ubat-ubatan di di fasiliti KKM meningkat kepada RM2,801.28 juta pada tahun 2019 berbanding RM2,324.25 juta pada tahun 2018.

Sementara jumlah preskripsi bagi pesakit luar yang diterima di fasiliti-fasiliti kesihatan awam adalah sekitar RM60 juta bagi tahun 2018 dan tahun 2019. 

 “Program ini perlu diperkasakan kerana masyarakat tidak akan cakna dengan ubatan yang diberi memandangkan program tersebut hanya bersifat sukarela.

“Program ini juga perlu lebih menyeluruh memandangkan pada ketika ini, program lebih kepada anjuran KKM dan masih kurang di sektor swasta. Jangan terkejut jika ramai yang masih tidak tahu berkaitan program ini,” katanya. 

Malah Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar turut senada sekiranya pihak berwajib seperti Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM boleh menyediakan suatu platform yang boleh menjadi pemudahcara untuk pesakit dan orang awam memulangkan kembali lebihan ubat mereka.

“Antaranya yang perlu disediakan adalah platform atau tempat khas drop-in di klinik dan hospital atau boleh wujudkan satu sistem perkhidmatan pengeposan pemulangan ubat yang mudah.

“Selain itu, pihak doktor juga perlu sentiasa mengingatkan pesakit untuk pulangkan lebihan ubat menerusi peringatan yang ditulis di slip ubat selepas selesai sesi konsultasi,” jelasnya. 

Mengulas lanjut isu ini, pembaziran ubat sebenarnya satu masalah sikap kurang bertanggungjawab yang perlu ditangani dengan cara meningkatkan pendidikan kesihatan dan kesedaran peri pentingnya memulangkan ubat kembali kepada operator yang menguruskan lebihan ubat-ubatan.

Beliau menegaskan, masyarakat juga perlu tahu ubat-ubatan yang dipreskripsi oleh doktor ada beberapa kategori seperti ubat racun merbahaya dan ubat berjadual yang sememangnya sudah ada sistem rekod pemberian dan pelupusannya yang tersendiri yang mana akan disemak dan dipantau oleh pihak Penguatkuasa Farmasi KKM.  

PROGRAM HMR BANTU RUNGKAI MASALAH  

Menyentuh mengenai Home Medication Review (HMR), atau kini dikenali dengan  Home Care Pharmacy Services (HCPS), Dr Mohd positif program tersebut mampu memberi impak ke atas kefahaman dan pematuhan masyarakat terhadap pengambilan ubat terutama golongan warga emas dan pesakit kronik yang menghidapi penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi. 

Secara asas, HMR adalah perkhidmatan lawatan ke rumah pesakit yang disertai oleh sebuah pasukan kesihatan, terdiri daripada doktor, pegawai farmasi, jururawat dan penolong pegawai perubatan atau pasukan farmasi sahaja.

Setakat ini, ia merangkumi tiga jenis perkhidmatan iaitu HMR Neurologi/Strok, HMR Psikiatri dan HMR Geriatrik. 

Pada setiap kunjungan, pegawai farmasi akan ke rumah pesakit yang terpilih dan mereka akan menilai dari segi kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan mereka, mengenal pasti isu berkaitan regimen ubat-ubatan pesakit dan memperkasakan pengetahuan pesakit dan ahli keluarga terhadap penyakit yang dihadapi. 

Berkongsi pengalaman mengadakan program tersebut di peringkat fakulti, Dr Mohd mengakui ‘berjumpa’ dengan pelbagai ragam pesakit. 

Menurut beliau, pernah ada pesakit ketika dilawati, mengeluarkan sebungkus beg besar berisi ubatan dan agak mengejutkan kerana pesakit itu menyimpan semua ubat lama yang luput tarikh dan baharu dalam beg tersebut. 

“Ada juga pesakit yang ketika ditemui, hanya menggantungkan plastik berisi ubat di tingkap, yang terdedah kepada cahaya terik matahari. Belum lagi yang menyimpan semua jenis ubat di dalam peti sejuk serta keliru apabila pembungkusan atau jenama ubat berubah.

 “Jadi, perkara seperti inilah yang perlu kita perbetulkan dengan melihat sendiri keadaan pesakit di rumah mereka. Tanpa lawatan sebegini, kita tidak akan tahu kesukaran atau sejauh mana pesakit faham tentang pengambilan serta penyimpanan ubat,” katanya. - Bernama 

Artikel berkaitan: Buang ubat: Masyarakat masih tidak cakna

Advertisement