Anda di sini

Skandal rasuah, ketua Samsung dipenjara dua setengah tahun

Advertisement
 Lee tiba di mahkamah di Seoul, semalam. — Gambar AFP
BERSENGKONGKOL: Lee tiba di mahkamah di Seoul, semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Ketua hakiki empayar perniagaan Samsung di Korea Selatan telah disabit kesalahan semalam dalam satu skandal rasuah besar-besaran dan dipenjara selama dua setengah tahun, dalam satu keputusan yang menyingkirkan pembuat keputusan utama dari syarikat teknologi gergasi itu.

Lee Jae-yong, naib pengerusi Samsung Electronics, iaitu pembuat cip memori dan telefon pintar terbesar di dunia, dijumpai bersalah atas tuduhan rasuah dan menggelapkan wang berhubung skandal tersebut yang menumbangkan presiden Park Geun-hye.

Lee “secara aktif memberi rasuah dan secara tersirat meminta presiden menggunakan kuasanya untuk membantunya menjalankan pengambilalihan yang lancar” sebagai ketua konglomerat yang luas serta besar itu, kata Mahkamah Daerah Tengah Seoul dalam keputusannya.

“Ia adalah sangat malang bahawa Samsung, syarikat utama negara dan inovator global yang bangga, berulang kali terbabit dalam jenayah setiap kali ada perubahan dalam kuasa politik.”

Ia memenjarakannya selama dua setengah tahun, untuk menamatkan perbicaraan semula yang merupakan langkah terbaharu dalam proses undang-undang yang berlarutan dan sudah bertahun-tahun menyelubungi Samsung.

Lee – yang terdahulu memasuki mahkamah dengan muka serius dan memakai pelitup muka, tanpa menjawab soalan yang dilaungkan oleh pemberita – segera dibawa ke tahanan.

Beliau sudah beberapa tahun menjadi ketua hakiki kumpulan Samsung yang terlibat dalam pelbagai bidang itu selepas bapanya terlantar di atas katil akibat serangan sakit jantung sebelum beliau meninggal dunia pada Oktober lalu.

Samsung setakat ini merupakan yang terbesar di antara konglomerat yang dikuasai keluarga, atau chaebol, yang mendominasi perniagaan dalam ekonomi ke-12 terbesar di dunia.

Pulangan keseluruhannya adalah bersamaan satu perlima daripada keluaran dalam negara kasar dan ia amat penting bagi kesihatan ekonomi Korea Selatan.

Kebangkitannya didorong oleh kesediaan untuk melabur berbilion dolar dalam taruhan strategik ke atas teknologi penting.

Namun pakar berkata hukuman itu akan mewujudkan kekosongan kepimpinan yang boleh menjejaskan keputusan mengenai pelaburan berskala besar pada masa depan.

“Ia sebenarnya satu tamparan yang amat hebat dan krisis besar bagi Samsung,” kata profesor perniagaan di Universiti Sejong, Kim Dae-jong.

Kes itu berkisar sekitar jutaan dolar yang dibayar oleh kumpulan Samsung kepada rakan karib Park yang menjadi tempatnya mengadu secara sulit, Choi Soon-sil, dikatakan untuk mendapatkan bantuan kerajaan termasuk memastikan peralihan yang lancar bagi Lee untuk menggantikan bapanya yang uzur ketika itu.

Skandal itu mengetengahkan hubungan yang mencurigakan di antara perniagaan besar dengan politik di Korea Selatan, dan bekas presiden itu serta rakannya dituduh menerima rasuah daripada tokoh korporat sebagai habuan bagi layanan istimewa.

Lee mula-mula dipenjara selama lima tahun pada 2017 ekoran penggulingan Park.

Sebuah mahkamah rayuan menolak kebanyakan pensabitan rasuah ke atasnya dan menjatuhkan hukuman tertangguh pada tahun berikutnya, tetapi Mahkamah Agung kemudian mengarahkan agar perbicaraan baharu diadakan bagi usahawan berusia 52 tahun itu.

Pada Mei lalu, Lee memohon maaf secara terbuka, sambil tunduk di depan kamera kerana salah laku syarikat termasuk rancangan kontroversi syarikatnya untuk menaikkannya ke kedudukan kepimpinan.

Anak-anaknya sendiri, janjinya, tidak akan menggantikannya dalam jawatan tertinggi pengurusan di syarikat itu.

Bapa Lee, Lee Kun-hee, dan datuknya – pengasas Samsung, Lee Byung-chull – juga pernah mengalami masalah undang-undang tetapi tidak pernah menjalani hukuman penjara.

Pada awal bulan ini, Samsung Electronics, syarikat utama kumpulan itu, mencatatkan peningkatan lebih 25 peratus dalam keuntungan operasi suku keempat, dengan menyebut tentang faedah daripada kerja dari rumah disebabkan oleh pandemik yang merangsang permintaan untuk alat-alat dengan kuasa yang dijana oleh cipnya. — AFP

Advertisement