Anda di sini

Mangsa banjir ceritakan detik air naik dengan cepat

Advertisement
 Adila mengemop lantai rumah yang kotor akibat banjir pada Sabtu lalu.
BERSIHKAN: Adila mengemop lantai rumah yang kotor akibat banjir pada Sabtu lalu.

SERIAN: Kerana penat dan terlelap sekejap tanpa disedari air bah masuk membanjiri seluruh rumah setinggi satu kaki di kediaman sewa seorang petugas perubatan di Taman Anggerik Serian, Sabtu lalu.

Demikian kata Adila Awaludin, 30, ketika ditemui Utusan Borneo dan menceritakan pengalamannya menghadapi banjir kilat dan masih lagi membersihkan rumah semalam.

“Hari Sabtu lepas saya sedang tidur dalam jam 4 petang lebih dan hujan mulai lebat sehingga jam 6.15 petang. Kemudian rakan sekerja di hospital menelefon dan tanya sama ada air sudah mulai naik di kawasan perumahan saya.

“Bila turun dari katil sahaja, air sudah berada setinggi setengah betis dan air di dalam bilik sudah bertakung, bila buka sahaja pintu bilik tengok, air sudah menenggelami ruang tamu dan kereta di luar rumah juga hampir tenggelam.

“Tayar sudah tidak nampak dan air deras datang dari arah depan dan belakang pintu rumah kami. Kawan-kawan datang tolong dan alihkan kereta ke tempat tinggi sikit.

“Kemudian, kami matikan suis utama dan berpindah sementara ke rumah rakan sekerja tidak jauh dari sini,”  katanya kepada pemberita.

Beliau dan rakan serumah Hidayah Abdul Aziz, 30, terpaksa mengambil cuti untuk membersihkan rumah mereka semalam.

Ujarnya, rumah yang didiami mereka tidak mempunyai ruang air untuk keluar, jadi mereka terpaksa membuang air banjir keluar secara manual.

Ditanya sekiranya mengalami banyak kerugian, katanya perabot pemilik rumah sewa banyak yang kembang dan rosak serta telah dibuang.

Taman Anggerik pernah mengalami banjir teruk pada 2016 sebelum ini.

Advertisement