Anda di sini

Kemudahan pesakit COVID-19 di Sibu mencukupi

Advertisement
 

KUCHING: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing (gambar) memberi jaminan katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Sibu mencukupi.

Menurutnya, meskipun kapasiti Hospital Sibu kini 79 peratus, namun pihaknya telah menyediakan empat pusat kuarantin dan rawatan kes berisiko rendah (PKRC).

Ia terdiri daripada Methodist Centennial yang boleh menampung 94 katil dan mula beroperasi petang ini, Kem Kemuyang (123),  Institut Latihan Kesihatan Malaysia (156) dan Hostel Desa Sanyan Hotel (800) dan boleh digunakan seminggu dari sekarang.

"Pada masa yang sama, kita akan mempunyai beberapa pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari masa ke semasa seperti 10 pesakit hari ini. Kita yakin Hospital Sibu dengan kemudahan-kemudahan sedia ada dapat merawat pesakit COVID-19 walaupun jumlah kes bertambah,” katanya pada sidang media COVID-19 hari ini.

Mengenai sampel COVID-19 yang diambil di Sibu, Dr Chin berkata sebahagian sampel akan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Pusat Jantung Sarawak, Pusat Perubatan Borneo (BMC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan makmal swasta Gribbles.

"Kita juga  berusaha untuk menghantar sampel ke makmal swasta di Kuala Lumpur dan 1,500 sampel sudah dihantar ke sana hari ini. Dengan pendekatan ini, JKN Sarawak yakin kita dapat mengurangkan masa menunggu keputusan ujian makmal menjadi antara 24 ke 36 jam," katanya.

Sementara itu, dalam meredakan kebimbangan mengenai keupayaan untuk terus merawat pesakit COVID-19 di Sibu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Uggah Embas berkata,  Sibu dapat menguruskan situasi Covid-19 dan kemudahan kesihatannya mampu menangani pemeriksaan COVID-19 dan kurantin pesakit positif.

"Seperti yang disebutkan oleh Dr Chin sebelum ini, PKRC telah diwujudkan untuk membantu Hospital Sibu dan dari masa ke semasa, akan ada pesakit yang akan pulih dan discaj.

"Mereka akan menguruskan keadaan di sana dan itulah sebabnya PKRC dibentuk untuk memastikan mereka yang berisiko rendah (Kategori 1 dan 2) untuk ditempatkan di sana," katanya.

Dari segi pemeriksaan COVID-19, beliau menjelaskan kemudahan kesihatan Kerajaan Sarawak telah mengambil 3,500 sampel sementara 500 yang lain telah diserahkan kepada BMC dan UNIMAS manakala 250 sampel telah dihantar ke Gribble.

"Ini bermakna kita memiliki kemampuan untuk menguji 4,750 sampel dan ini jauh lebih tinggi daripada dua minggu yang lalu," katanya.

Beliau turut memberitahu Sarawak telah menerima peruntukan daripada kerajaan pusat untuk meningkatkan kemudahan kesihatan kerajaan yang sedia ada sehingga sampel yang diambil dapat ditingkatkan menjadi 5,000 sehari.

"Permintaan kita beberapa bulan yang lalu telah dipersetujui dan proses ini sedang berjalan bagi mempersiapkan Sarawak menghadapi apa sahaja cabaran yang akan datang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement