Anda di sini

Guru besar didakwa terima rasuah lebih RM6,000 pada 2014 dan 2015

Advertisement
 Noorlida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,837 pada 2014 dan 2015. — Gambar Bernama
TIDAK MENGAKU SALAH: Noorlida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,837 pada 2014 dan 2015. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Seorang guru besar wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,837 pada 2014 dan 2015.

Noorlida Selamat, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan berkenaan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir Kechil, Sungai Petani didakwa menerima wang berjumlah RM450 dengan tiada balasan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) miliknya daripada Awang Kechik Bakar yang diketahui ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa berlaku di BIMB, Jalan Lagenda Height di Sungai Perani pada 7 Ogos 2014.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Noorlida dituduh melakukan perbuatan sama, dengan menerima wang sebanyak RM214 dan RM1,745 menerusi akaun BIMB miliknya daripada lelaki sama di lokasi sama pada 16 Ogos dan 19 Nov 2014.

Sementara itu, tiga lagi pertuduhan, wanita berkenaan yang kini menjadi Guru Besar di SK Guar Kepayang, Pendang didakwa menerima cek Bank Islam keseluruhannya berjumlah RM4,428 dengan tiada balasan daripada Awang Kechik yang dia mengetahui ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Noorlida dituduh melakukan perbuatan itu di bilik Guru Besar SK Sungai Pasir Kechil dan pejabat sekolah kebangsaan itu antara 24 Mac, 9 April dan 11 Mei 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tempoh dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan itu berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan diri kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dengan tempat tinggal setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 22 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli. — Bernama

Advertisement