Anda di sini

Tujuh krew kapal kargo diselamatkan KD Sri Gaya TLDM 

Advertisement
 Rusli (kanan) menunjukkan lokasi kapal kargo karam di Perairan Terumbu Segama, kira-kira 67 batu nautika dari Sandakan.
LOKASI KEJADIAN: Rusli (kanan) menunjukkan lokasi kapal kargo karam di Perairan Terumbu Segama, kira-kira 67 batu nautika dari Sandakan.

SANDAKAN: Tujuh krew kapal kargo Mermaid Challenger terselamat selepas kapal mereka karam di Perairan Terumbu Segama, kira-kira 67 batu nautika dari Sandakan, petang Ahad.

Tindakan pantas Kapal Diraja (KD) Sri Gaya dari Markas Wilayah Laut 2 pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan berjaya menyelamatkan tujuh anak kapal berkenaan temasuk kapten kapal.

Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Rusli Ahmad berkata KD Sri Gaya yang diketuai Pegawai Memerintahnya, Leftenan Komander Harulizam Haron sedang menjalankan Operasi Pasir di perairan berkenaan.

“KD Sri Gaya telah menerima panggilan radio kecemasan lebih kurang jam 5.46 petang pada 17 Januari 2021 dari sebuah kapal yang menyatakan sedang karam,” katanya.

Sejurus menerima panggilan itu, beliau berkata pihaknya telah tiba di posisi yang dilaporkan lebih kurang jam 6.40 petang.

Rusli berkata situasi menjadi getir apabila pihak KD Sri Gaya perlu berhadap dengan keadaan angin kencang dan laut bergelora selain keadaan mula gelap.

“KD Sri Gaya telah berjaya menyelamatkan kesemua tujuh mangsa yang hanyut di dalam sebuah rakit keselamatan,” katanya.

Beliau memberitahu kapal malang itu didaftarkan di Kota Kinabalu dan dikendalikan seramai tujuh orang krew di masa kejadian, kapal itu membawa muatan kargo dari Sandakan menuju ke Filipina.

 Tujuh krew kapal kargo menaiki rakit keselamatan bagi menyelamatkan diri.
RAKIT KESELAMATAN: Tujuh krew kapal kargo menaiki rakit keselamatan bagi menyelamatkan diri.

“Kesemua mangsa selamat tiba di Pangkalan TLDM Sandakan lebih kurang jam 8 pagi tadi (Isnin) dan dibawa ke Hospital Duchess Of Kent untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Rusli memuji usaha yang ditunjukkan oleh segenap warga KD Sri Gaya mencerminkan TLDM sentiasa komitmen dalam melaksanakan tugas selain memelihara keselamatan negara dan melindungi kominiti maritim setempat.

“Peristiwa ini merupakan kejayaan kedua kapal Markas Wilayah Laut 2 pada tahun ini selepas KD Todak menyelamatkan nelayan setempat di Perairan Permatang Ubi pada 3 Januari lepas,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement