Anda di sini

Remaja mengaku tidak bersalah rogol teman wanita sehingga lahir anak

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol teman wanitanya yang berusia 15 tahun sehingga melahirkan bayi. 

Tertuduh, 19 tahun, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Jason Juga. 

Mahkamah seterusnya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan RM1,000 didepositkan berserta dua penjamin tempatan yang bekerja dan mempunyai alamat tetap. 

“Pengurusan kes ditetapkan pada 15 Februari 2021. Tertuduh diingatkan untuk tidak mendekati mangsa atau ahli keluarga mangsa secara peribadi atau melalui ejen dan jika gagal mematuhi arahan tersebut, ikat jamin akan dibatalkan,” ujar Jason semasa prosiding.

Mengikut pertuduhan, remaja tersebut didakwa merogol mangsa di asrama pekerja yang terletak di BDC Stutong, di sini pada 18 Februari 2020, jam 9 malam. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement