Anda di sini

Polis Tawau rampas syabu bernilai RM1.5 juta

Advertisement
 Peter (dua kiri) dan Ahmad Jefferi (kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas. 
RAMPASAN : Peter (dua kiri) dan Ahmad Jefferi (kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas. 

TAWAU : Polis Tawau berjaya merampas dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM1.5 juta di kawasan ladang kelapa sawit batu 10 Jalan Apas, di sini.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Tawau yang menjalankan penugasan Op Benteng (ATIPSOM) mengesan pergerakan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Peter Umbuas berkata anggota polis mengekori kenderaan terbabit sehingga ke kawasan lapang di lokasi kejadian.

"Sebaik anggota polis berjaya mengarahkan kedua-dua kenderaan suspek berhenti, pemeriksaan dilakukan dan mendapati terdapat lima orang di dalam kenderaan tersebut terdiri seorang lelaki warga asing, dua lelaki tempatan dan dua wanita tempatan berumur 16 hingga 55 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut, anggota polis menjumpai sebuah beg pakaian yang mengandungi 25 bungkusan plastik teh Cina disyaki dadah jenis syabu dan satu bungkusan yang sama di dalam sebuah beg galas dianggarkan hampir 29 kilogram,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Sabah ACP Ahmad Jefferi Abdullah. 

Menurutnya, modus operandi suspek dengan memasukan dadah di dalam beg pakaian seolah-olah membawa barang biasa yang menjadi salah satu taktik penjenayah untuk memastikan pasukan keselamatan tidak mengesyaki sesuatu mencurigakan.  

"Hasil siasatan awal mendapati dadah yang boleh menampung permintaan kira-kira 140,000 penagih itu dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran,"katanya.

Peter berkata, kesemua suspek yang ditahan bergerak dalam satu kumpulan dan mengikut rekod polis mereka tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.

"Hasil ujian air kencing pula mendapati kesemua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan dipercayai mereka merupakan pengedar dadah yang aktif di daerah ini.

"Kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Januari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement