Anda di sini

Polis Labuan keluar 41 kompaun atas pelanggaran pelbagai SOP PKP

Advertisement
 Sekatan di Jalan Tun Musthapha.
SJR: Sekatan di Jalan Tun Musthapha.

LABUAN: Polis Labuan mengeluarkan 41 kompaun atas pelanggaran pelbagai Prosedur Operasional Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak berkuat kuasa bermula 13 Jan.

Pemangku Ketua Polis Daerah WP Labuan DSP Mohd Ibrahim Ghani berkata kompaun dikeluarkan dalam pemeriksaan di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) dan di tempat-tempat awam lain di sini.

“Kita melaksanakan pemantauan 24 jam di dua SJR dan tempat-tempat awam seperti dalam kawasan bandar dan kawasan riadah,” katanya menambah terdapat juga kesalahan rentas sempadan tanpa permit dan pendaratan haram di luar pintu masuk sah.

IBRAHIM
IBRAHIM

Mohd Ibrahim menjelaskan, pemeriksaan dalam SJR mendapati kebanyakan pelanggaran SOP adalah berkaitan dengan pematuhan had minimum bilangan penumpang dalam kenderaan.

Manakala pelanggaran dalam kawasan bandar, katanya melibatkan kegagalan mematuhi SOP kawalan pandemik di samping melakukan pergerakan melebihi jam 8.00 malam tanpa tujuan yang jelas.

Menurut Mohd Ibrahim, dalam pemeriksaan di kawasan-kawasan riadah termasuk pantai, pihaknya mengeluarkan kompaun kepada individu yang bergerak melebihi bilangan yang dibenarkan di samping pelanggaran penjarakan fizikal.

Berkaitan anggota terlibat sepanjang PKP, Mohd Ibrahim memberitahu pihaknya yang bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan pemantauan secara bergilir.

“Pemantauan dalam SJR memiliki kekuatan 40 anggota sementara pemantauan di tempat-tempat awam dilakukan 20 anggota,” katanya sambil memaklumkan lebih 21 ribu kenderaan diperiksa dalam sekatan.

Pelaksanaan SJR dilakukan di dua lokasi menghala ke bandar iaitu di Jalan Tun Mustapha dan Jalan Patau-Patau.

Mohd Ibrahim meminta orang ramai agar berhati-hati melakukan pergerakan sepanjang tempoh PKP kerana sebarang pelanggaran SOP boleh dikenakan kompaun.

  • oleh
  • Advertisement