Anda di sini

Pematuhan arahan PKP di perairan negara memuaskan

Advertisement
 Nazari menunjukan lokasi-lokasi yang dipantau oleh pasukan keselamatan di peraiaran negara.
PEMANTAUAN : Nazari menunjukan lokasi-lokasi yang dipantau oleh pasukan keselamatan di peraiaran negara.

TAWAU : Tahap pematuhan pengguna maritim di perairan negara semasa penguatkuasaaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sangat memuaskan dan tiada sebarang tindakan yang diambil setakat ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Ismail berkata semua pengguna maritim dilihat memahami semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Sejak bermulanya PKP 2.0 ini dilaksanakan, belum ada lagi pengguna maritim yang dikenakan kompaun, tangkapan, amaran ataupun diarah patah balik oleh pasukan keselamatan.

"Semua bot-bot penumpang daripada Pulau Sebatik ke Tawau bergerak dalam jangka masa yang dibenarkan iaitu bermula jam 6 pagi hingga 2 petang, manakala bot nelayan pula beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah media di Pejabat Pasukan Polis Marin (PPM), di sini semalam.

Beliau berkata, selain penguatkuasaan PKP dilaksanakan, semua pasukan keselamatan yang terlibat di peraiaran negara juga masih menjalankan Ops Cegah PTI (OCP) sehingga 31 Januari ini.

"Operasi tersebut dibahagi kepada dua bahagian yang terdiri daripada agensi lain termasuklah PPM, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Maritim dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kekuatan 10 buah bot pelbagai jenis.

"Semua pasukan keselamatan tersebut akan memantau bermula di sempadan Semporna, Tawau sehingga sempadan di perairan negara jiran Indonesia,"katanya.

Dalam pada itu, katanya pihaknya dan pasukan keselamatan lain sentiasa berwaspada dengan jenayah-jenayah rentas sempadan terutamanya pada waktu malam.

"Pasukan keselamatan bekerja 24 jam tanpa henti untuk menjaga perairan negara bagi mengekang pembolosan penjenayah daripada seberang terutamanya kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dan penyeludupan keluar masuk barang terlarang.

"Walaupun perairan negara ini sangat luas dan banyak lorong-lorong tikus, namun pasukan keselamatan banyak menggagalkan aktiviti jenayah rentas sempadan sehingga ke hari ini,"katanya

Nazari menasihatkan semua pengguna maritim di daerah ini supaya mengelak daripada melakukan kesalahan PKP dan membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat tentang kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Dengan adanya maklumat yang diberikan itu dapat membantu pasukan keselamatan untuk menjaga keamanan negara daripada diceroboh oleh penjenayah terutamanya daripada seberang.

"Pihak PPM juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan atau mendakwa sekiranya terdapat masyarakat maritim yang bersekongkol atau bersubahat dengan penjenayah tersebut,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement