Anda di sini

Pemandu pacuan empat roda parah dalam kemalangan

Advertisement
 Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabas dan terbalik.
REMUK : Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabas dan terbalik.

TAWAU : Seorang lelaki parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terbalik di batu 7 jalan apas, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa Ahmad Tang Bakri,27, dipercayai terlanggar lopak air sebelum hilang kawalan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Peter Umbuas berkata mangsa dipercayai memandu dari arah Bandar Sri Indah (BSI) menghala ke bandar dalam keadaan cuaca hujan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa terbabas ke pembahagi jalan dan terbalik ke laluan bertentangan sebelum masuk ke dalam parit berhampiran.

"Mangsa pula tercampak keluar daripada kenderaannya dan jatuh di atas jalan raya di laluan bertentangan,"katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada mangsa yang gagal mengawal pergerakan kenderaan setelah terlanggar lopak air di jalan raya selain cuaca hujan lebat pada ketika itu.

"Kesan daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan masih mendapat rawatan di Hospital Besar Tawau, manakala kenderaan mangsa pula, mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, bumbung, cermin dan tayar belakang pecah.

"Dalam kejadian itu, pemandu tidak disyaki mabuk dan  kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1977,"katanya

  • oleh
  • Advertisement