Anda di sini

Mangsa banjir selesa dengan kemudahan di PPS

Advertisement
 Bayi berusia sebulan antara mangsa banjir yang selamat dipindahkan ke PPS.
MANGSA BANJIR: Bayi berusia sebulan antara mangsa banjir yang selamat dipindahkan ke PPS.

PENAMPANG: Disediakan ruang tidur yang selesa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membuatkan Asnah Adam, 49, terlupa seketika pengalaman sedih kehilangan semua barangan rumah akibat banjir.

Beliau yang tinggal di Kampung Nambazan ini antara mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang sejak awal pagi Ahad lepas.

Menurutnya, rumahnya dilanda banjir sekitar jam 11 malam pada Sabtu dan paras air naik secara mendadak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan semua barangan termasuk dokumen peribadi.

ASNAH
ASNAH

"Memang saya sedih sebab kami sekeluarga sekarang hanya tinggal sehelai sepinggang dan semua barangan hanyut ditenggelami banjir.

"Mujurlah kami cepat menghubungi pihak ambulans semasa air banjir semakin naik dan pasukan bomba datang menyelamatkan kami.

"Saya turut risaukan keadaan dua ekor kucing peliharaan kami yang tidak dapat dibawa ke PPS," katanya kepada Utusan Borneo di sini.

Beliau bersama suami dan dua anaknya yang berumur 13 dan 11 tahun bersyukur dengan keadaan penginapan di PPS yang selesa dengan pemantauan kesihatan dan bantuan perubatan turut disediakan.

Sementara itu, bagi Parima Pondok, 38, walaupun kemudahan yang disediakan di PPS begitu selesa, namun keadaannya tidak sama seperti di rumah sendiri.

Beliau yang tinggal di Kampung Kolopis ini mengakui sukar untuk melelapkan mata berikutan keadaan cuaca yang sejuk dan masih risau dengan keadaan rumah yang dilanda banjir.

Katanya, ini adalah pengalaman pertama mereka sekeluarga dipindahkan ke PPS sejak tinggal di rumah berkenaan sekitar tiga tahun lepas.

PARIMA
PARIMA

"Kami sekeluarga bersama tiga anak dipindahkan ke sini pada pagi Ahad selepas paras air mencecah lantai walaupun rumah kami jenis bertiang.

"Jika banjir sudah surut, kami mahu pulang segera ke rumah kerana di sana lebih selesa," katanya.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 81 mangsa banjir dari 20 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement