Anda di sini

Komuniti maritim diingatkan waspada cuaca buruk, angin kencang, laut bergelora

Advertisement
 Dalam tempoh 18 hari bulan ini sahaja, sudah enam operasi carilamat diaktifkan di seluruh Sabah.
CARILAMAT: Dalam tempoh 18 hari bulan ini sahaja, sudah enam operasi carilamat diaktifkan di seluruh Sabah.

KOTA KINABALU: Komuniti maritim terutamanya nelayan tradisional dan pekerja sektor perkapalan diingatkan berwaspada berikutan cuaca buruk untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Peringatan itu dikeluarkan berikutan rekod sepanjang Januari tahun ini menyaksikan sebanyak enam operasi carilamat diaktifkan di seluruh negeri dalam tempoh 18 hari.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kebanyakan kes disebabkan cuaca buruk.

MOHD ROSLI
MOHD ROSLI

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu merekodkan satu operasi di perairan Karambunai, tiga di Sandakan dan satu di Semporna,” katanya, di sini hari ini.

Malah, terdapat mangsa yang masih belum ditemui selepas operasi dijalankan dengan faktor cuaca buruk serta laut bergelora menyukarkan kerja-kerja mengesan dijalankan.

Mohd Rosli berkata pihaknya masih meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang di perairan Sandakan walaupun terpaksa berhadapan situasi sukar akibat cuaca buruk.

“Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia melaporkan angin kencang dan laut bergelora akan berterusan sehingga 20 Januari dengan kelajuan angin mencecah 60 kilometer sejam.

“Malah, ombak tinggi dilaporkan melebihi paras 45 meter terutamanya di perairan barat Sabah dan Labuan,” katanya berhubung situasi semasa di kawasan perairan berisiko.

Mengulas lanjut, beliau turut mengesahkan bahawa MET sudah mengeluarkan amaran cuaca kategori merah dan amat berbahaya untuk semua aktiviti di perairan terlibat.

Risiko bahaya itu merangkumi sektor perkapalan seperti pekerja pelantar minyak dan gas, selain aktiviti di pantai, menangkap ikan serta perkhidmatan feri penumpang.

“MET turut mengeluarkan amaran terhadap kawasan timur Sabah yang dijangka mengalami keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori jingga,” katanya

Menurutnya, ketika ini juga MRSC Kota Kinabalu baharu sahaja mengaktifkan satu lagi operasi carilamat pada jam 12 tengahari semalam mencari dua nelayan yang hilang.

“Kedua-dua nelayan menaiki bot gentian kaca yang karam di perairan Kuala Abai, Kota Belud kira-kira jam 6 pagi dan serang daripada mangsa sudah disahkan selamat ditemui.

“Namun, butiran seorang lagi belum diketahui,” katanya, serta memaklumkan maklumat itu disalurkan melaui Pangkalan Hadapan Operasi National Task Force Teluk Usukan.

Beliau menyeru komuniti maritim bekerjasama melaporkan kejadian kecemasan atau petunjuk kes kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 08838774 / MERS999.

 Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran merah untuk kawasan perairan barat Sabah dan Labuan, serta jingga di perairan timur negeri ini.
WASPADA: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran merah untuk kawasan perairan barat Sabah dan Labuan, serta jingga di perairan timur negeri ini.
  • oleh
  • Advertisement