Anda di sini

Kerajaan Sarawak bantu pelajar bayar baki tunggakan PTPTN

Advertisement
Abang Johari pada sidang media hari ini. Turut kelihatan, Fatimah (kiri). - Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri
Abang Johari pada sidang media hari ini. Turut kelihatan, Fatimah (kiri). - Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membantu para pelajar di negeri ini untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertunggak sebagai pemberian insentif seperti dijanjikan sebelum ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperuntukkan RM30 juta untuk tujuan tersebut.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah mengadakan rundingan dengan PTPTN untuk menentukan kaedah pembayaran balik tunggakan.

“Sekarang ini baru sahaja selesai perbincangan antara Yayasan Sarawak dan PTPTN, sudah ada formula bagi kita membantu pelajar Sarawak menyelesaikan tunggakan dengan PTPTN di mana kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan dua bas sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Politeknik Mukah dan Politeknik Metro Betong di pekarangan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Abang Johari ditemani Uggah pada simbolik penyerahan bas kepada Politeknik Betong. - Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri
Abang Johari ditemani Uggah pada simbolik penyerahan bas kepada Politeknik Metro Betong. - Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri

Pemberian insentif tersebut akan membantu para pelajar menyelesaikan 30 peratus daripada baki hutang mereka dengan PTPTN yang melibatkan seramai 9,634 pelajar.

Menyentuh mengenai bantuan lain kepada para pelajar Sarawak, katanya, Kerajaan Sarawak telah membantu para pelajar Sarawak dari segi kos tambang balik ke negeri ini ketika musim perayaan bagi pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia. 

Menurutnya lagi, kerajaan Sarawak juga telah mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada para pelajar, khususnya di bandar raya Kuching untuk meringankan beban perbelanjaan ibu-bapa.

"Perkhidmatan ini yang dikelolakan oleh Yayasan Sarawak akan dikembangkan ke bandar-bandar lain di Sarawak pada masa akan datang," ujar beliau lagi. 

Mengenai pendidikan pra-sekolah, beliau menyatakan Tadika Sedidik yang sebelum ini di bawah kelolaan SEDC telah diambil alih oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak untuk memastikan pendidikan pra-sekolah di Sarawak lebih tersusun dan berstruktur. 

Beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan hampir RM600,000 untuk membeli dua buah bas tersebut dengan kapasiti 25 penumpang bagi kegunaan pelajar dan pelaksanaan aktiviti di kedua-dua politeknik tersebut. 

Ini ekoran permohonan para pelajar yang dikemukakan semasa sesi Town Hall 'Berambeh ngan Abang Jo' bersempena Karnival Today for Tomorrow (T4T) pada 6 Julai 2019 di Mukah dan 15 Disember 2019 di Betong, dan Abang Johari bersetuju untuk menyumbangkan dua buah bas bagi kegunaan kedua-dua politeknik tersebut.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement