Anda di sini

Irama Melayu klasik dendangan Dayang Nurfaizah dalam ‘Belagu’

Advertisement
 Dayang Nurfaizah bersama Aubrey Suwito.
KOLABORATIF: Dayang Nurfaizah bersama Aubrey Suwito.

PENYANYI kebanggaan Sarawak Dayang Nurfaizah bakal kembali dengan buah tangan terbaru hadiah buat peminat iaitu sebuah album Melayu Klasik berjudul ‘Belagu’.

Kali terakhir Dayang Nurfaizah mempertaruhkan lagu-lagu berunsurkan klasik adalah menerusi album ‘Kasih’ pada 15 tahun lalu.

Dipetik daripada perkataan dalam dialek Melayu Sarawak, ‘Belagu’ membawa maksud menyanyi, dan album ini dibarisi lagu Melayu klasik malar segar.

Album yang hadir dengan lapan buah lagu ini mengetengahkan intrepretasi segar Dayang Nurfaizah dan disempurnakan dengan susunan dan gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito.

Lagu ‘Tudung Periuk’ bakal menjadi trak pertama dari album ini yang akan dilancarkan kepada umum.

Menurut Dayang, pemilihan ‘Tudung Periuk’ sebagai lagu pertama adalah kerana kemahsyuran lagu itu di kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.

“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikkan, ‘Tudung Periuk’ cukup jelas mempamerkan esen muzik tradisional Melayu.”

Keistimewaan yang mahu diketengahkan oleh ‘Belagu’ tidak hanya pada susunan muziknya namun juga pada proses rakamannya sendiri.

Dayang mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara langsung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar.

Proses rakaman yang disempurnakan dalam masa dua hari diiringi pemuzik-pemuzik hebat di bawah Aubrey Suwito.

Meletakkan harapan agar lagu-lagu Melayu klasik akan terus segar, jelas Dayang, “Menerusi ‘Belagu’, Dayang mahu memperkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar.

“Lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampainnya. Kami ada menyuntik kelainan pada persem-bahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” katanya.

Selain ‘Tudung Periuk’, album ‘Belagu’ turut memuatkan ‘Jikalau Abang Merindu’, ‘Tak Seindah Wajah’, ‘Malam Ku Bermimpi’, ‘Gurindam Jiwa’ (duet bersama Hael Husaini), ‘Tari Tualang Tiga’, ‘Dikirim Jangan Dipesan Jangan’, dan ‘Kenang Daku Dalam Doa Mu’.

‘Belagu’ diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah sendiri DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

‘Tudung Periuk’ boleh didengari sekarang di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music manakala album ‘Belagu’ edisi digital akan dilancarkan pada 12 Februari 2021.

Advertisement