Anda di sini

Bilik gerakan bencana banjir Tamparuli diaktifkan sebagai langkah persediaan

Advertisement
 Jahid (kanan) ketika meninjau suasana keadaan banjir yang menjejaskan penduduk Kampung Sungai Damit.
TINJAU: Jahid (kanan) ketika meninjau suasana keadaan banjir yang menjejaskan penduduk Kampung Sungai Damit.

TAMPARULI: Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli diaktifkan sebagai persiapan bagi memindahkan para penduduk sekiranya paras air naik. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, peranannya adalah bagi mengumpul maklumat dalam keadaan yang telah dimurnikan untuk disampaikan kepada Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Tuaran. 

"Saya telah meminta Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli dan Pejabat Wakil Rakyat Tamparuli untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bagi membantu penyaluran bantuan dan pemindahan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

"Pengaktifan serta-merta itu penting bagi menyampaikan maklumat mengenai mana-mana kawasan yang memerlukan bantuan seperti bot, pusat pemindahan, bantuan dapur segera dan sebagainya," katanya ketika pada Majlis Penyampaian Sumbangan Creamos Bun Dan Roti Keras Manis kepada penduduk dikuarantin akibat COVID-19 di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad Dexter Lau, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Jilias Lintar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli Madin Anak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, buat masa ini tiga kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dikenal pasti adalah di Masjid Kampung Bunga Tenghilan, Dewan Tun Hamdan dan Dewan Seri Sulaman.

Katanya, penambahan PPS akan dilakukan sekiranya diperlukan. Dalam tinjauan yang dilakukan pada pagi Ahad, beliau mendapati keadaan-keadaan terkini banjir yang berlaku di kawasan berisiko yang dikenal pasti di kawasan Tuaran khususnya Tamparuli. 

"Jika perlu Pejabat ADUN Tamparuli juga akan membantu menyediakan tempat bagi mengumpul maklumat dan menyelaras tindakan untuk penyaluran bantuan," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 7,000 Creamos Bun dan 1,000 Roti Keras Manis telah disampaikan kepada lebih kurang 500 orang dari sembilan buah kampung yang terlibat.

Ia merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat ADUN Tamparuli, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli.

  • oleh
  • Advertisement