Anda di sini

Aktiviti keagamaan, budaya tidak dibenarkan semasa PKP dan PKPB - JPBNS

Advertisement
 

KUCHING: Semua aktiviti keagamaan dan budaya yang kebiasaannya dilakukan di dalam dan pekarangan rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia antara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Jawatankuasa itu menerusi Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) bagi negeri ini.

“Semua mesyuarat, seminar dan majlis seperti pertunangan, perkahwinan dan majlis kesyukuran juga tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, siaran langsung dari pekarangan rumah ibadat dibenarkan namun hanya maksimum 12 orang petugas sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

JPBNS turut memaklumkan senarai nama petugas harus diserahkan kepada UNIFOR untuk maklumat dan dimajukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sarawak melaksanakan PKPB di semua bahagian kecuali Sibu mulai hari ini hingga 31 Januari 2021.

Ia melibatkan Zon Kuching (Kuching, Samarahan dan Serian), Zon Sri Aman (Sri Aman), Zon Sarikei (Sarikei dan Betong), Zon Mukah (Mukah), Zon Kapit (Kapit), Zon Bintulu (Bintulu), Zon Miri (Miri) dan Zon Limbang (Limbang).

Sementara Bahagian Sibu melaksanakan PKP berkuat kuasa pada 16 Januari lalu sehingga 29 Januari 2021.

Advertisement