Anda di sini

 74 bakul makanan dihantar kepada penduduk Kg Simpangan

Advertisement
 Pasukan ATM, JBPM dan APM sedang memindahkan bakul makanan dari lori ATM ke bot JBPM untuk dihantar ke Kampung Simpangan Paitan.
HANTAR BANTUAN: Pasukan ATM, JBPM dan APM sedang memindahkan bakul makanan dari lori ATM ke bot JBPM untuk dihantar ke Kampung Simpangan Paitan.

BELURAN: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Paitan telah menghantar 74 bakul bantuan makanan kepada penduduk Kampung Simpangan yang terputus hubungan akibat banjir.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri berkata bantuan berkenaan diselaraskan oleh PKOB Daerah Paitan bermula semalam.

“Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menghantar bantuan bakul makanan itu kepada penduduk,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk berkata pasukan itu telah mengangkut bantuan itu menggunakan lori sebelum menghantar ke rumah-rumah penduduk dengan menggunakan bot.

“Kawasan Kampung Simpangan telah terputus hubungan akibat banjir beberapa hari lepas,” katanya ketika dihubungi.

Samad berkata jalan utama menuju ke kampung berkenaan masih dinaiki air dan tidak dapat dilalui kerana banjir.

“Inisiatif kita hanya menggunakan bot bagi menghantar bantuan makanan kepada penduduk di kampung berkenaan,” jelasnya.   

Dalam pada itu, Samad berharap penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga dan berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sementara menunggu pihak berkuasa memindahkan mereka ke pusat pemindahan sekiranya paras air semakin naik.

“Pemimpin masyarakat perlu segera bertindak sekiranya dilanda banjir bagi menghubungi PKOB Daerah Beluran dan Daerah Paitan untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penduduk kampung agar mengawal anak-anak dari bermain air banjir bagi menggelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

  • oleh
  • Advertisement