Anda di sini

300 bungkusan makanan dihantar ke lima kampung dalam DUN Lamag

Advertisement
 Operasi menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir dan PKP dijalankan di DUN Lamag.
BANTUAN: Operasi menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir dan PKP dijalankan di DUN Lamag.

SANDAKAN: Sebanyak 300 bungkusan makanan telah diedarkan kepada penduduk di lima buah kampung yang terjejas banjir dan terjejas pendapatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Lamag, Abu Bakar Gapar berkata bantuan Bungkusan ini adalah peruntukan Datuk Sri Bung Moktar Radin selaku ADUN N.58 Lamag kepada mangsa mangsa banjir terputus hubungan dan juga penduduk yang tersenarai yang terjejas akibat PKP.

“Bantuan Bungkusan ini akan diteruskan bagi yang belum menerima dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ketat,” katanya selepas mengetuai pasukan menghantar bungkusan makanan ke lima buah kampung dalam DUN Lamag.

Beliau berkata lima buah kampung yang terlibat iaitu  Kampung Kembara Jaya, Kampung Sri Manis, Kampung Danau Ria, Kampung Muhibbah dan Pekan Bukit Garam.

“Bungkusan makanan ini dihantar ke kampung berkenaan menggunakan kenderaan termasuk kereta pacuan empat roda walaupun keadaan banjir masih belum surut,” katanya.

Abu bakar menasihatkan penduduk kampung agar mengambil langkah berjaga dalam soal  keselamatan semasa banjir dan sentiasa patuhi SOP PKP setiap masa.

“Hanya patuhi SOP PKP, kita boleh putuskan rantaian penularan COVID-19 yang kini dilaporkan masih mencecah empat angkah di seluruh negara,” katanya.

Beliau bersama Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Lamag Rozamsah Ismail dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag sentiasa berada di kawasan DUN Lamag dan boleh dihubungi oleh masyarakat kampung sekiranya memerlukan bantuan.

Dalam pada itu, Abu Bakar telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden Dzulbaharin Haji Ismail bagi berbincang beberapa perkara termasuk operasi penyaluran bantuan semasa tempoh PKP.

“Ketua Polis Daerah Kinabatangan telah menasihati para pemimpin di peringkat kampung supaya mematuhi SOP PKP secara ketat dalam menyalurkan bantuan bungkusan makanan selain bekerjasama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kinabatangan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang memberi komitmen tinggi dalam menjalankan tugas termasuk usaha menyalur bantuan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement