Anda di sini

Surirumah, tujuh anak naik di perabot untuk selamatkan diri

Advertisement
 Seramai 52 mangsa banjir daripada 12 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Rumah Kompleks Sukan Penampang.
PEMINDAHAN: Seramai 52 mangsa banjir daripada 12 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Rumah Kompleks Sukan Penampang.

PENAMPANG: “Saya dan anak-anak terpaksa menaiki perabot sebab banjir semakin tinggi dalam rumah,” akui seorang surirumah, Mastura Abdullah, 30, ibu tujuh anak.

Wanita terbabit dan anak-anaknya adalah antara 52 mangsa banjir daripada 12 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Rumah Kompleks Sukan Penampang.

Ketika berdepan detik cemas itu, Mastura dan tujuh anaknya termasuk seorang bayi berumur 11 bulan terpaksa bertahan lebih lima jam selepas air memasuki rumah mereka pada jam 3 pagi.

“Ketika terjaga dari tidur, air sudahpun masuk ke rumah jadi saya bersama anak-anak terpaksa naik ke atas perabot seperti meja, kerusi, almari dan tong gas sehingga bantuan tiba,” katanya.

MASTURA
MASTURA

Beliau berkata ketika kejadian suaminya keluar bekerja, menyebabkan beliau bersama tujuh anaknya terpaksa mengharungi detik-detik cemas sebelum bantuan kecemasan tiba.

Malah, mereka anak beranak juga terpaksa bersengkang mata di atas perabot terbabit sebagai langkah berjaga-jaga dan bimbang sekiranya terjatuh ke dalam air yang dalam.

“Sehinggalah jam 7 pagi, jiran yang juga ipar saya menghubungi bomba untuk meminta bantuan kerana air semakin tinggi dan hujanpun masih belum reda,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sepanjang masa dia sentiasa berdoa memohon perlindungan Tuhan dan memastikan anak-anaknya sentiasa dalam keadaan selamat.

Menurutnya, semenjak menetap di Kasigui kira-kira 10 tahun lepas, pengalaman kali ini adalah yang paling buruk pernah dilaluinya namun bersyukur kerana mereka selamat.

“Sebaik bantuan bomba tiba, kami tidak berfikir panjang dan mengambil barang yang sempat tetapi baharu tersedar rupanya dokumen-dokumen penting tidak sempat dibawa.

“Mudah-mudahan banjir segera berlalu dan kami dapat pulang ke rumah,” katanya, sambil turut berharap akan menerima bantuan prihatin daripada Kerajaan Negeri.

Seorang lagi mangsa, Mixson Tinggak, 41, berkata sudah lapan jam terperangkap di Pekan Donggongon kerana tidak dapat meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya.

Pengawal keselamatan itu berkata baharu sahaja pulang dari tempat kerja di Inanam dan mengikut laluan di Kibabaig, tetapi membatalkan hasrat selepas air mencapai paras dada.

MIXSON
MIXSON

“Selepas itu saya cuba mengikut laluan di Jalan Bundusan tetapi rupanya banjir juga berlaku di Donggongon, sebelum terpaksa menolak motosikal ke pasar,” katanya.

Ditanya mengenai ahli keluarganya pula, Misxon berkata sudah menghubungi isterinya di rumah dan mendapat tahu bahawa banjir turut melanda kediaman mereka di Inobong.

Bagaimanapun, beliau berkata isterinya yang berumur 40 tahun dan anaknya, 16, tidak dapat keluar kerana terperangkap dalam rumah berikutan air yang memasuki rumah.

“Sebenarnya saya risau juga keadaan mereka di rumah, tapi selepas bercakap dengan isteri, saya lebih lega kerana mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement