Anda di sini

Fenomena banjir, ribut jejas penempatan, kelangsungan hidup

Advertisement
 Keadaan sungai di Kg Sapagaya yang masih terkawal.
TERKAWAL: Keadaan sungai di Kg Sapagaya yang masih terkawal.

LAHAD DATU: Fenomena banjir dan ribut yang berlaku di daerah ini telah mengakibatkan kediaman rosak dan kelangsungan hidup penduduk terjejas. 

Tinjauan yang dilakukan sejak Isnin mendapati daerah ini telah menerima kekerapan hujan tinggi hingga beberapa kampung banjir.

Dalam tinjauan semalam (sehingga jam 3 petang) didapati meskipun hujan sejak pagi kawasan berisiko banjir dalam keadaan terkawal seperti di Kampung (Kg) Sapagaya, Kg Segama dan Tungku.

MIZMA.
MIZMA.

Dilaporkan sejak Isnin, keadaan di tiga buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama iaitu Kampung (Kg) Segama Lama, Kg Batu 18 dan Kg Sapadulang dinaiki air banjir hingga lapan keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Pusat Latihan Vokasional Pertanian Lahad Datu.

Kira-kira 70 keluarga dari Kg Sapadulang pula tidak dapat dihubungi melalui jalan kerana keadaan jambatan perhubungan kampung yang rosak.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Segama, Mizma Appehdullah yang membuat lawatan ke kawasan banjir pada Khamis berkata penduduk di kampung-kampung terjejas itu telah menerima bantuan keperluan makanan.

Menurutnya, agihan makanan diserahkan kepada mangsa secara berperingkat melalui agensi-agensi kerajaan dan sukarelawan.

Katanya, beliau bersama Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lahad Datu, Abdul Hakim Ghulam Hassan turut turun padang menyantuni penduduk dengan berkunjung ke rumah mangsa banjir untuk meninjau keadaan dan keperluan mereka.

SITI RAMADAN.
SITI RAMADAN.

"Saya juga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang telah mengumumkan setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir akan menerima wang ihsan berjumlah RM500.

"Bantuan ini amat besar maknanya kepada penduduk yang terjejas apatah lagi ketika mereka mengaharungi cabaran ekonomi kesan pandemik COVID-19," katanya.

Mizma berkata, infrastruktur yang mengalami kerosakan akan segera dipantau untuk pembaikan atau naik taraf agar ianya tidak memberi kesan pada aktiviti ekonomi penduduk dalam melalui keadaan sukar ini.

Abdul Hakim turut menegaskan ketika ditemui, beliau bersedia mendesak perhatian kerajaan agar permasalahan itu tidak membebankan rakyat.

"Saya bersedia menyokong usha ini dan akan mendesak kerajaan untuk membaiki jalan dan jambatan rosak kesn banjir kerana ianya keperluan mendesak rakyat yang amat penting didahulukan," katanya.

Selain banjir, Lahad Datu juga terkesan dengan ancaman ribut pada petang Jumaat lalu yang mengakibatkan 23 buah rumah mengalami kerosakan.

Seorang ibu tunggal, Siti Salkan Nur, 65, berkata beliau masih trauma dengan tragedi ribut itu yang telah menyebabkan sebahagian atap rumahnya terbang.

YADLIEN.
YADLIEN.

"Ianya berlaku begitu pantas, saya amat takut dan cuma mampu memeluk anak dan cucu lalu bertapuk dan berteduh," katanya.

Siti Salkan menyedari sebahagian zink rumahnya telah tiada apabila air hujan mula membasahi lantai dalam rumahnya.

Bagi seorang anak yang bekerja di bandar yang bimbang keadaan keluarganya di Pulau Sakar, Siti Ramadan Mahadi, 20, berkata, beliau hanya mampu memantau rapi perkembangan info banjir dari laman rasmi kerajaan dan maklumat perkongsian media sosial.

"Saya berasa bimbang kerana nenek, datuk, makcik dan adik beradik saya tinggal di pulau.

"Saya bimbang keadaan mereka aatah lgi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang," katanya.

Menurutnya, bagi melepaskan kerinduan dan kerisauannya dia kerap menelefon mereka dan turut berkongsi maklumat terkini perkembangan semasa.

Katanya, dia juga tidak sabar untuk balik kampung untuk melihat sendiri keadaan keluarganya di pulau kerana selain keadaan cuaca, ancaman wabak pandemik COVID-19 juga membimbangkannya.

"Syukur saya masih berupaya bekerja dan dapatlah membeli bekalan makanan untuk keluarga di kampung.

"Namun pemantauan berterusan penting saya lakukan untuk memastikan keluarga saya sentiasa selamat dan peka pada perkembangan serta arahan kesihatan yang terkini," katanya.

Bagi Yadlien Shik, 33, dia sudah sedia maklum dan siapsiaga bagi menghadapi fenomena banjir di Kampung Sapagaya.

"Saya dan keluarga tetap mengambil tindakan berjaga-jaga setiap kali musim hujan berlaku di sini.

 Antara keadaan jambatan yang rosak akibat banjir.
ROSAK: Antara keadaan jambatan yang rosak akibat banjir.

"Kami akan mengemas dokumen-dekomen penting untuk diletakkan di kawasan yang selamat agar ianya tidak rosak selain barangan peralatan rumah yang mudah rosak terkena air," katanya.

Menurut Yadlien, dari pemantauan yang dilakukannya, faktor air pasang tinggi laut yang berlaku sekarang merupakan antara faktor keadaan banjir berlaku terutama kawasan yang berdekatan dengan sungai dan kawasan dataran rendah.

Katanya, kawasan Segama berlaku banjir kerana dipengaruhi faktor itu dan kawasan Sapagaya turut berkemungkinan dilanda banjir berdasarkan rekod kejadian lalu.

"Namun, kawasan Sapagaya yang telah dilaksankan kerja-kerja mendalamkan kawasan sungai dan pembaikan tebing sungai yang membolehkan aliran air yang ditampung berjalan lancar terus ke laut.

"Keadaan ini menyelamatkan keadaan di sini, namun ianya bukan jaminan 100 peratus kami di sini tidak banjir, kami tetap perlu berwaspada," katanya.

 Ribut yang merosakkan atap rumah penduduk.
ROSAK: Ribut yang merosakkan atap rumah penduduk.
  • oleh
  • Advertisement