Anda di sini

Beberapa kampung di Penampang turut terjejas banjir

Advertisement
 John sempat meninjau kawasan sekitar rumahnya yang dilanda banjir.
TINJAU: John sempat meninjau kawasan sekitar rumahnya yang dilanda banjir.

PENAMPANG: Beberapa kawasan perkampungan di daerah ini terjejas banjir dan penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

Paras air Sungai Moyog yang tinggi juga antara punca beberapa kawasan sekitarnya dilanda banjir.

Tinjauan Utusan Borneo di beberapa lokasi yang terjejas banjir mendapati banyak kawasan perkampungan dinaiki air dan jalan raya tidak dapat dilalui kenderaan.

 Judy (tiga kanan) bersama ahli keluarganya dibantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk berpindah ke PPS.
SELAMAT: Judy (tiga kanan) bersama ahli keluarganya dibantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk berpindah ke PPS.

Salah seorang penduduk di Kampung Hungab yang hanya mahu dikenali sebagai John berkata, air mula memasuki rumahnya sekitar jam 3 pagi dan situasi banjir seperti itu hampir setiap tahun berlaku.

Justeru, beliau sekeluarga lebih awal membuat persediaan apabila hujan berterusan dan air sungai mencapai paras yang tinggi.

"Kami mula memindahkan barang-barang dari tingkat bawah kira-kira jam 12 tengah malam dan sekitar jam 3 pagi air mula naik dan memasuki rumah.

"Walaupun banjir seperti ini sering berlaku, namun selalunya ia hanya dalam tempoh sehari sahaja dan tidak lama selepas itu air akan mula surut," katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Hungab Vicky Matanjang berkata, ketukan pintu oleh jiran sebelah rumah mengejutkan mereka sekeluarga dengan keadaan paras air yang semakin tinggi.

 Kawasan Bulatan Sigah di pekan Donggongon antara lokasi yang sering dilanda banjir.
BANJIR: Kawasan Bulatan Sigah di pekan Donggongon antara lokasi yang sering dilanda banjir.

Katanya, tindakan pertama yang dibuat adalah memindahkan kereta ke tempat yang lebih selamat memandangkan tingkat bawah rumahnya hanya untuk stor dan bilik tetamu.

Menurutnya, akibat tertidur selepas jam 12 tengah malam, mereka sekeluarga tidak sedar air mula naik tetapi bernasib baik apabila dikejutkan jiran kira-kira jam 3 pagi.

"Sekitar jam 4 pagi air naik sampai paras lutut dan mujurlah kami tinggal di tingkat atas, justeru tidak banyak barangan yang perlu dipindahkan," jelasnya.

Sementara itu, bagi Judy Shadee yang masih dalam tempoh berpantang selepas tiga minggu bersalin, banjir kali ini menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS buat pertama kalinya.

Beliau yang tinggal di Kampung Penampang Proper itu risau dengan keadaan bayi yang baharu lahir terpaksa akur dengan situasi banjir berkenaan, lebih-lebih lagi Sungai Moyog hanya terletak berhampiran dengan kawasan rumahnya.

"Apabila berlaku banjir, selalunya ia mengambil masa empat hingga lima hari untuk surut.

"Namun kali ini, paras air agak tinggi lebih dua meter naik ke kawasan rumah dan kami terpaksa berpindah ke PPS," katanya yang turut ditemani suami dan lima lagi anaknya.

Beliau berkata, jika sebelum ini banjir, mereka sekeluarga akan berpindah ke rumah saudara terdekat sahaja.

Selain Penampang, beberapa kawasan bahagian pantai barat dan pedalaman negeri ini dilanda banjir dan cuaca buruk diramalkan berlanjutan sehingga 19 Januari ini.

 Laluan jalan raya dan kawasan rumah di Kampung Hungab antara yang terjejas banjir.
TERJEJAS: Laluan jalan raya dan kawasan rumah di Kampung Hungab antara yang terjejas banjir.
  • oleh
  • Advertisement