Anda di sini

348 mangsa dari 191 kampung terjejas banjir 

Advertisement
 Tinjauan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di lokasi banjir.
BANTU: Tinjauan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di lokasi banjir.

KOTA KINABALU: Seramai 348 mangsa banjir dari 191 kampung di tujuh daerah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 petang hari ini (Ahad).

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sebanyak sembilan PPS dibuka membabitkan seramai 91 ketua isi rumah.

Daerah Kota Kinabalu merekodkan bilangan penduduk paling ramai yang dipindahkan ke PPS iaitu 62 orang di Masjid Jamek Kota Kinabalu dan 39 orang di Dewan Serbaguna Likas.

Seramai 45 mangsa ditempatkan di Dewan Kampung Kusilat Pitas, 32 mangsa di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir Beaufort, 38 orang di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, 25 orang di Dewan Serbaguna PPR Ketiau Putatan, dan 34 orang di Dewan Tun Said Kota Belud.

 Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)  membantu mangsa-mangsa banjir berpindah ke PPS.
MANGSA: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)  membantu mangsa-mangsa banjir berpindah ke PPS.

Bagi daerah Paitan, seramai 45 orang ditempatkan di Dewan Binsulung dan 21 orang di Dewan Kampung Kubambangan.

Sementara itu, daerah Tuaran dan Papar turut terjejas banjir dengan keadaan air yang mencapai paras amaran dan waspada.

Selain banjir, hujan lebat berterusan turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh hingga menyebabkan beberapa laluan utama tidak dapat dilalui kenderaan.

Pihak Sekretariat JPBN memaklumkan, sebanyak 10 kejadian tanah runtuh dilaporkan di tujuh kampung termasuklah di daerah Kota Kinabalu, Kota Marudu, Pitas dan Kudat.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan akibat kejadian terbabit dan hanya kerosakan jalan raya.

Antara lokasi yang terjejas akibat tanah runtuh termasuklah Jalan Penampang-Tambunan, Kampung Lokub Kota Kinabalu, di Kota Marudu membabitkan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, manakala dua kejadian tanah runtuh di Kudat membabitkan kawasan Kampung Air dan Kampung Dumpirit

Bagi daerah Pitas, sebanyak enam kejadian tanah runtuh dilaporkan iaitu di Kampung Layak-layak, Jalan Langkon-Pitas, Jalan Rinasuk Unggol-Kampung Sosop, Jalan Suang Duyung, Jalan Sosop Bai dan Jalan Mengkubau Laut.

 Antara laluan yang terjejas akibat tanah runtuh.
RUNTUH: Antara laluan yang terjejas akibat tanah runtuh.
  • oleh
  • Advertisement