Anda di sini

Gadis dakwa dirogol tahanan ketika di lokap

Advertisement
Alan menemani bapa mangsa membuat laporan polis berhubung dakwaan rogol dalam lokap polis.
Alan menemani bapa mangsa membuat laporan polis berhubung dakwaan rogol dalam lokap polis.

MIRI: Seorang gadis bawah umur mendakwa dirogol seorang tahanan lelaki ketika ditahan di lokap balai polis di sini pada 9 Januari lalu. 

Gadis berusia 16 tahun itu pada mulanya ditangkap polis setelah disyaki terlibat dengan aktiviti judi haram dalam talian. 

Mangsa ditemani bapanya membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada petang Sabtu dengan turut ditemani Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling dan Pembantu Khasnya Lawrence Low yang menjadi peguam mewakili mangsa terbabit. 

Malaysiakini melaporkan, ketika ditahan di sel lokap berasingan daripada tahanan lelaki, mangsa mendakwa pintu sel lokap lelaki tidak berkunci.

Kemudian, pada hari kejadian, mangsa berkata pelaku yang didakwanya mempunyai kunci, membuka pintu sel lokapnya dan merogolnya di tandas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dipetik dari portal itu menyatakan dua polis yang bertugas menjaga lokap ketika kejadian, digantung sementara tugas dan dalam siasatan.

Alan berkata lagi, beliau mahu siasatan segera dan telus dibuat mengenai insiden ini sehingga Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu. 

“Kegagalan untuk mematuhi peraturan lokap dan prosedur operasi standard (SOP) atau dipintas seperti dalam kes ini, telah membenarkan penyalahgunaan dalam tahanan sehingga melakukan jenayah di kalangan tahanan di bangunan polis.

“Laporan polis dibuat bukan untuk memperlihatkan kejadian buruk yang tidak dapat diterima di dalam bangunan polis tetapi untuk membolehkan siasatan dijalankan,” ujarnya. 

Alan berkata beliau dan Lawrence akan mengikuti perkembangan siasatan terhadap kes ini dan mereka juga sedang dalam proses untuk mendaftarkan saman sivil ke Mahkamah Tinggi Miri bagi mendapatkan pampasan dan ganti rugi yang timbul akibat kejadian terbabit. 

Dalam pada itu, Alan berkata sudah tiba masanya bagi Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador untuk mengkaji semula SOP lokap dan melakukan pembaharuan lokap seperti yang diminta oleh masyarakat dan kumpulan hak asasi manusia. 

Katanya polis harus memastikan keselamatan yang ketat terutama antara tahanan lelaki dan wanita bagi memastikan perlindungan sepenuhnya diberi semasa dalam tahanan untuk siasatan polis. 

  • oleh
  • Advertisement