Anda di sini

Warga Pasai tertekan dan bimbang dengan persepsi masyarakat

Advertisement
RICHARD
RICHARD

SIBU: Penduduk Pasai serta kawasan berhampiran, di sini bimbang dengan persepsi masyarakat berikutan penularan wabak COVID-19 di daerah ini yang dikaitkan dengan Kluster Pasai.

Penghulu Richard Ampi yang bertanggungjawab bagi kawasan Pasai Siong berkata kewujudannya (Kluster Pasai) telah menakutkan orang ramai terutama orang luar dan keadaan itu telah menyebabkan penduduk Pasai berasa tertekan.

“Penduduk Pasai mula perasan masyarakat takut dengan kawasan ini dan mereka mula berasa tertekan dengan keadaan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Richard, kawasan Pasai sangat luas dan terdapat lebih 20 rumah panjang.

Katanya, kawasan Pasai pula terbahagi kepada beberapa bahagian termasuk Pasai Siong.

“Antara penempatan yang terdapat di kawasan Pasai Siong termasuk Lubok Pelaie, Siong Ulu, Siong Ili dan Siong Tengah.

“Ketika ini, tumpuan pengesanan kontak rapat serta ujian saringan COVID-19 lebih kepada penduduk di Siong Tengah.

“Dianggarkan terdapat sembilan rumah panjang di Siong Tengah,” jelas beliau.

Justeru Richard mengajak masyarakat di luar kawasan Pasai bertindak bijak dalam menguruskan pemikiran dan emosi.

Selain itu katanya, masyarakat di luar Pasai juga harus bijak menapis dan memilih maklumat berkualiti sahaja bagi mengelak berlakunya salah faham.

“Saya berharap masyarakat di luar kawasan Pasai berhenti menjadi negatif, malah sepatutnya memberi sokongan moral kerana tiada siapa yang mahu dijangkiti wabak itu,” katanya.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya saling memberi sokongan moral antara satu sama lain.

Ahad lalu, satu kluster baharu telah dikesan di Sibu selepas seorang wanita yang kembali dari Johor untuk menghadiri pengebumian bapanya di Rumah Langi Ambau@Douglas, Pasai Siong dikenal pasti sebagai penyebar dalam kalangan penduduk di rumah panjangnya.

Berikutan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBN) Sibu memutuskan melakukan kawalan pergerakan di kawasan berkenaan.

Advertisement