Anda di sini

Penduduk dinasihat tetap patuh arahan sewaktu PKP

Advertisement
CALVIN CHONG
CALVIN CHONG

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun menasihati penduduk agar tetap patuh pada arahan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 hingga 26 Januari seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri. 

Beliau yakin PKP bukan kemahuan semua pihak namun ia merupakan cara yang terbukti berkesan membendung penularan COVID-19, bukan sahaja di negara ini malah di beberapa negara lain.

Bagaimanapun, Calvin juga mengakui pelaksanaan semula PKP akan memberi kesan kepada ekonomi setempat khususnya pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Berikutan itu, beliau menyarankan agar pihak kerajaan dapat meneruskan dan menambahbaik usaha-usaha bagi meringankan beban rakyat.

Antaranya, menangguhkan tempoh bayaran pinjaman kenderaan selama enam bulan; pengecualian bayaran bil air bagi penggunaan 50m3 yang pertama; pengeculian bayaran bil elektrik bagi penggunaan 200kWh yang pertama; langganan percuma internet 1GB setiap hari; pelepasan pembayaran lesen berniaga untuk gerai-gerai dan pemberian baucar untuk barangan keperluan harian melalui pasar raya.

"Pencegahan yang paling utama adalah melalui disiplin kendiri iaitu amalan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, mencuci tangan dengan sabun, menggunakan cecair pembasmi kuman sekiranya tiada punca air yang berdekatan dan menjaga jarak fizikal serta elak dari bersentuhan dengan individu lain," katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu tetap bersatu hati memerangi dan mengekang penularan COVID-19 ini.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha membantu masyarakat khususnya yang terjejas sepanjang tempoh ini.

Advertisement