Anda di sini

Pelbagai kemudahan untuk rakyat menerusi RTP dan KPLB

Advertisement
 Matasan (empat kiri) dan Abdul Rahman ketika melawat Dewan Futsal Kampung Bukit Kota kelmarin.
KEMUDAHAN SUKAN: Matasan (empat kiri) dan Abdul Rahman ketika melawat Dewan Futsal Kampung Bukit Kota kelmarin.

LIMBANG: Kerajaan negeri melaksanakan pelbagai kemudahan sukan untuk memberi manfaat kepada rakyat selain pelaksanaan projek infrastruktur asas yang dijalankan secara berterusan di setiap kawasan di daerah ini.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah kerajaan persekutuan.

Jelasnya, sejumlah RM500,000 dibelanjakan kerajaan negeri melalui RTP bagi pembinaan dan menaik taraf Padang Bola Sepak di Desa Pabahanan sejak 2018 di bawah seliaan Majlis Daerah Limbang (MDL).

“Bagi projek pembinaan Dewan Desa Pabahanan sejumlah RM750,000 dibelanjakan sejak 2019 melibatkan tiga fasa yang memuatkan tiga gelanggang badminton.

“Manakala RM200,000 dibelanjakan untuk pembinaan jeti di Desa Pabahanan yang sudah siap sepenuhnya di bawah projek Ameniti Sosial KPLB,” katanya ketika ditemui media pada lawatan kerja ke Desa Pabahanan, Kampung Buangsiul dan Bukit Kota kelmarin.

ADUN Bukit Kota itu memberitahu lagi, projek jeti Desa Pabahanan itu untuk kegunaan penduduk Limpaku Pinang dan Bulantak serta memudahkan mereka yang menziarahi kubur seberang sungai.

“Projek  menaik taraf Gelanggang Futsal Kampung Buangsiul untuk dijadikan dewan juga menelan kos RM550,000 melibatkan tiga fasa pembinaan,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, pembinaan Dewan Futsal Kampung Bukit Kota sejak 2017 bernilai RM870,000 menelan kos yang besar dan tempoh pembinaan yang lama kerana memerlukan pembaikan di kawasan itu.

Dengan adanya kemudahan itu katanya, memberi banyak manfaat kepada masyarakat di sekitarnya dalam menjalankan aktiviti beriadah dan bersukan.

Mengiringi beliau ialah Ketua Kampung Bukit Kota Matasan Amit.

Advertisement